Pembinaan ban tinggi cegah limpahan air pasang besar

Ban dibina berhadapan rumah penduduk di Taman Gedung Indah, Pelabuhan Klang bagi menghalang limpahan air dari sungai memasuki kawasan perumahan tersebut.
Ban dibina berhadapan rumah penduduk di Taman Gedung Indah, Pelabuhan Klang bagi menghalang limpahan air dari sungai memasuki kawasan perumahan tersebut.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Pembinaan ban yang lebih tinggi di sekitar kawasan Taman Teluk Gedung Indah di sini membantu untuk mengurangkan limpahan air yang mampu merosakkan kediaman penduduk.

Sinar Harian bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang pada Ahad melakukan tinjauan di beberapa kawasan di sini yang sering dinaiki air akibat fenomena air pasang besar.

Hasil tinjauan mendapati ketinggian air di lokasi-lokasi seperti di Telok Gong, Taman Gedung Indah, Taman Selat Damai dan sekitar Pelabuhan Selatan masih terkawal dan tidak menyebabkan kerosakan kepada kediaman penduduk atau menyukarkan pergerakan kenderaan.

Salah seorang penduduk, Mohd Hamizan Sameoon, 37, berkata, ban air tersebut dibina pada tahun 2019 setelah fenomena air pasang besar melanda di sini.

Mohd Hamizan yang tinggal di kawasan itu sejak 14 tahun lalu bersyukur ban tersebut dibina kerana rumahnya sering dinaiki air berikutan lokasinya berhadapan sungai.

"Air pasang besar paling teruk pernah saya alami pada tahun 2019, mesin basuh dan peti sejuk saya semuanya rosak.

Beberapa kawasan di Taman Gedung Indah, Pelabuhan Klang dinaiki air, namun ia tidak melimpah ke rumah penduduk.
Beberapa kawasan di Taman Gedung Indah, Pelabuhan Klang dinaiki air, namun ia tidak melimpah ke rumah penduduk.

"Bila ban ini dibina, limpahan air mula berkurang, sekurang-kurangnya ada pihak yang prihatin dengan keadaan kami," katanya yang berniaga di sekitar kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Jamaludin Hassan, 67, yang sudah lebih 20 tahun menetap di situ gembira kerana fenomena air pasang besar yang berlaku tidak seteruk sebelum ini.

Ujarnya, pembinaan ban air yang kemudiannya ditambak menjadi lebih tinggi berjaya mengawal limpahan air pasang besar yang pernah hampir memasuki rumahnya.

"Sebelum ini ketika ban air masih belum dibuat, air naik sampai ke depan pintu.

"Sekarang saya gembira bila ban air sudah ditambak, air naik setakat bawah pagar rumah sahaja," katanya.

Suhana Jusoh, 45, pula berkata, pembinaan ban air tersebut dapat membantu limpahan air akibat fenomena air pasang besar yang berlaku pada musim tengkujuh.

Menurut Suhana, rumahnya pernah dimasuki haiwan berbisa seperti ular sawa ketika musim banjir akibat fenomena tersebut.

Suhana Jusoh
Suhana Jusoh

"Sabtu lalu ketika air pasang besar berada pada kemuncaknya, saya tidak boleh tidur kerana rumah saya dinaiki air di bahagian dapur.

"Bila ban tersebut dibina, ia dapat menampung air yang banyak dan menghalang limpahan lebih teruk ke kawasan rumah saya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Operasi dan Pegawai Kanan BBP Pelabuhan Klang, Siti Asmah Jameon berkata, operasi pemantauan dijalankan bersama Pegawai Operasi, Nadzri Mazyani bermula pada jam 6.15 pagi hingga 8 pagi di tujuh kawasan seliaannya.

Menurutnya, hasil pemantauan di lokasi-lokasi berkenaan mendapati terdapat limpahan air laut, namun keadaan masih terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan.