Pemuda Pas kecewa pertandingan tiga penjuru PRN Melaka

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas meluahkan kekecewaan apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan bermula pada Isnin bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di hampir kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari kesal dengan sikap sombong dan ego sesetengah pihak yang menyumbang kepada pertandingan tiga penjuru itu walaupun Pas sudah berusaha sebaik mungkin membawa mesej penyatuan ummah dalam PRN Melaka kali ini.

"Kita saksikan apakah kesudahan pertandingan tiga penjuru ini terhadap kuasa politik Melayu dan Islam.

"Pemuda Pas mengajak semua rakyat Melaka untuk berani melakukan perubahan. Ayuh kita angkat kerajaan yang berwibawa, bersih dan berintegriti dalam pilihan raya negeri kali ini.

"Semoga pilihan anda akan membentuk sebuah kerajaan Melaka yang stabil, bersih dan berintegriti demi mencapai Melaka yang sejahtera," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan meletakkan calon di semua 28 kerusi DUN yang menyaksikan akan berlaku pertandingan tiga penjuru di kesemua kerusi tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda Pas turut menyambut baik pendekatan berani PN mengetengahkan calon muda dalam PRN kali ini.

Menurutnya, tindakan itu membuktikan PN sebagai sebuah parti yang inklusif dan mengangkat suara anak muda dalam arena politik negara.

"Dua calon muda daripada Pas, Ahmad Bilal Rahaudin yang bakal berentap di N26 Serkam merupakan Ketua Pemuda PN Melaka dan juga Al Afiz Yahya yang berentap di N17 Bukit Katil merupakan Ketua Pemuda Pas Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Pemuda Pas juga berdiri utuh atas keputusan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat untuk bertanding atas logo PN dalam PRN kali ini. Kesemua jentera Pemuda Pas akan digerakkan semaksimum mungkin bagi membantu kempen pilihan raya yang pastinya berbeza dengan suasana sebelum ini berpandukan norma baharu pencegahan Covid-19," jelasnya.