Sabah FC perlu manfaatkan aksi di Likas

Penyerang Sabah FC (kanan), cuba melepasi kawalan pertahanan Kelantan FC. - Foto Sabah Football Club
Penyerang Sabah FC (kanan), cuba melepasi kawalan pertahanan Kelantan FC. - Foto Sabah Football Club
A
A
A

KESEBELASAN Sabah FC diharap dapat memanfaatkan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri pada Selasa bagi mencatatkan kemenangan ketika berdepan PJ City FC pada aksi terakhir Kumpulan D TM Piala Malaysia 2021 Selasa ini.

Menurut pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee kemenangan berkenaan dilihat penting bagi memastikan skuad The Rhinos itu mengesahkan slot beraksi dalam saingan suku akhir kelak.

“Kita tetap perlukan kemenangan dengan PJ City FC. Oleh itu, kita perlu manfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk pastikan kemenangan untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Mungkin permainan tidak menarik dipamerkan oleh pemain muda kita, tetapi keputusan (kemenangan) adalah amat penting untuk kita.

“Kesemua pemain kita juga boleh beraksi, cuma keletihan dan kita akan lihat dalam sesi latihan bagi tentukan pemain yang bakal beraksi nanti,” katanya.

Kelantan FC lebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pembukaan menerusi Che Mohamad Safwan Hazman Che Hassan pada minit ke-5.

Namun, kapten Sabah FC Mohd Amri Yahyah menjaringkan gol penyamaan dua minit kemudian setelah menyempurnakan sepakan penalti sebelum pemain gantian, Mohamad Sahrizan Saidin menjaringkan gol pada masa kecederaan.

Kemenangan itu dilihat mencerahkan peluang Sabah FC untuk mengiringi JDT ke suku akhir namun masih perlu menewaskan PJ City FC pada aksi terakhir Selasa ini.

Artikel Berkaitan:

Sementera itu pengendali Kelantan FC, Rezal Zambry Yahya menyifatkan kesebelasan anak didiknya telah mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sedikit kesilapan yang dilakukan pada minit terakhir menyaksikan keputusan perlawanan tidak memihak kepada skuad kendaliannya itu.

“Walaupun keputusan tidak menyebelahi kita tapi pemain mempamerkan permainan yang menarik, kita melawan sampai minit terakhir, sikit kesilapan kita lakukan, sebakan keputusan tidak memihak kepada pasukan saya.

“Saya rasa peluang kami sudah tertutup untuk ke suku akhir, namun pada aksi terakhir dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti, diharapkan pemain dapat membeirkan yang terbaik,” katanya.