Sila log masuk terlebih dahulu.

Serbuan di belukar rampas rokok seludup bernilai RM1.11 juta

Ramli (tengah) menunjukkan rokok tanpa cukai yang dirampas dalam Op Kontraban yang dilakukan PPM Wilayah Tiga Kuantan pada Jumaat lalu.
Ramli (tengah) menunjukkan rokok tanpa cukai yang dirampas dalam Op Kontraban yang dilakukan PPM Wilayah Tiga Kuantan pada Jumaat lalu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 1.48 juta batang rokok seludup disyaki tidak dibayar cukai dianggarkan bernilai RM1.11 juta dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Kuantan, dalam Op Kontraban, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua 148 karton rokok pelbagai jenama itu dirampas dalam serbuan di sebuah belukar di Kampung Padang pada jam 6.50 petang.

Menurutnya, bertindak atas maklumat awam, seorang pegawai bersama lima anggota PPM Wilayah Tiga Kuantan telah membuat intipan dan mendapati seorang lelaki berada berhampiran sebuah lori di kawasan belukar itu.

"Kita berjaya mengesan lelaki yang disyaki pemandu selepas pencarian dalam semak berhampiran gagal. Pihak PPM Wilayah Tiga Kuantan membuat pemeriksaan lanjut terhadap lori yang ditinggalkan telah menjumpai enam jenis rokok disyaki tidak bercukai.

"Antara rokok jenama yang dirampas ialah Boston sebanyak 2,300 karton; Mayor Merah (1,050 karton), Mayor Hijau (550 karton), U3 Blend (850 karton), Yuxi (100 karton) dan Force 10 (2,550 karton) yang dianggarkan bernilai RM1.10 juta serta sebuah lori bernilai RM60,000. Jadi, nilai rampasan bagi keseluruhan berjumlah RM1.170 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung kejayaan rampasan rokok tidak bercukai oleh PPW Wilayah Tiga Kuantan di bilik media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) pada Ahad.

Ramli menjelaskan, pasukan yang terlibat dengan operasi itu menunggu hampir setengah jam di kawasan serbuan bagi untuk memastikan, jika terdapat individu menuntut lori dan rokok terbabit.

Menurutnya, bagaimanapun tiada sebarang individu tampil dan semua barang rampasan telah dibawa ke markas PPM Wilayah Tiga Kuantan untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Ramli berkata, markas PPM Wilayah Tiga Kuantan amat komited untuk mengekang sebarang aktiviti penyeludupan menerusi Op Kontraban.

"Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat, jika mengetahui aktiviti yang mencurigakan ini kepada pihak PPM Wilayah Tiga Kuantan di talian 09-5137 726," katanya.