150,000 peranti inisiatif Cerdik selesai diagih

Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

SHAH ALAM - Kesemua 150,000 peranti di bawah inisiatif Cerdik telah selesai diagihkan kepada pelajar yang layak untuk menerima peranti tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, peranti terakhir telah diagihkan kepada pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinji Ipoh, Muhammad Harrith Irfan Mohd Daniel pada 29 Oktober lalu.

"Pada peringkat awal, kita lihat mungkin ada sedikit kelewatan dalam konteks pengagihan peranti, khususnya ketika itu bukan sahaja Malaysia tetapi di seluruh dunia, bekalan peranti tersebut agak terhad.

"Maknanya, setiap penyumbang ada spesifikasi tertentu dan mereka perlu mendapatkan bekalan tersebut. Itu antara sebab terdapat sedikit kelewatan pada peringkat awal agihan.

"Namun, akhirnya kita boleh lihat dari hari ke hari jumlah peranti yang diterima dan diagih meningkat. Akhir sekali pada 29 Oktober, kesemua peranti yang patut diagihkan telah diagihkan kepada pelajar yang telah dikenal pasti," katanya selepas melakukan tinjauan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik Bandar Enstek, Nilai pada Ahad.

Cerdik merupakan inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran secara dalam talian, e-pembelajaran serta bentuk lain pengajaran jarak jauh.

Program perintis Cerdik adalah sebahagian inisiatif jangka panjang dalam menyediakan akses digital untuk pendidikan dan merangkumi dua komponen utama akses kepada peranti serta ketersambungan data.

Justeru, Mohd Radzi berharap isu agihan peranti berkenaan tidak lagi timbul.

Artikel Berkaitan:

"Pelajar-pelajar pada waktu ini sedang menggunakan peranti tersebut dalam pembelajaran mereka," katanya.