Operasi cegah jenayah tumpu hujung minggu

Polis Pulau Pinang menjalankan operasi pencegahan jenayah pada setiap hujung minggu bagi mengurangkan kadar jenayah di negeri itu.
Polis Pulau Pinang menjalankan operasi pencegahan jenayah pada setiap hujung minggu bagi mengurangkan kadar jenayah di negeri itu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang akan menjalankan operasi pencegahan jenayah pada setiap hujung minggu bagi mengurangkan kadar jenayah di negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Op Pencegahan Jenayah Bersepadu 2021 itu dijalankan bagi memastikan pencegahan jenayah dapat dilaksanakan berikutan peningkatan jumlah pengunjung ke Pulau Pinang selepas kebenaran merentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, ia bukan bermakna hari biasa tiada operasi kerana operasi masih berjalan seperti biasa dan tidak kira waktu.

"Dalam operasi yang diadakan bermula jam 10 malam hingga 2 pagi pada Ahad, tiada kompaun dikeluarkan yang mana ia hanya melibatkan pemeriksaan dan memberi nasihat sahaja.

"Operasi itu juga melibatkan pemantauan dan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) dijalankan ke atas semua premis yang beroperasi di beberapa kawasan tumpuan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang pada Ahad.

Mohd Shuhaily berkata, antara kawasan terlibat adalah sekitar Padang Kota Lama; Weld Quay; Persiaran Karpal Singh; Queensbay; Auto City/ Icon City; Design Village, Penang Times Square dan Midlands Park.

"Hasil pemantauan dan pemeriksaan mendapati pengunjung masih lagi mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Katanya, operasi itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh dan beberapa pegawai serta ketua jabatan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan: