Air pasang besar di Pekan Kukup fenomena biasa

Zazali menunjukkan kawasan pekarangan surau Pekan Kukup yang dipenuhi air akibat air pasang besar pada Ahad.
Zazali menunjukkan kawasan pekarangan surau Pekan Kukup yang dipenuhi air akibat air pasang besar pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Pekan Kukup di sini mengalami air pasang besar menyaksikan berlaku limpahan air di kawasan laluan utama bermula jam 12 tengah hari pada Ahad.

Seorang penduduk, Zazali Salleh, 54, berkata, keadaan air pasang besar di Pekan Kukup tidak berbahaya kerana ia kembali surut dalam tempoh sejam.

Jelasnya, penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan sudah biasa berdepan situasi air pasang besar yang berlaku pada hujung tahun.

"Penduduk sudah biasa dengan air pasang besar di Kukup yang terletak dekat dengan laut. Cuma, bagi orang luar terutama pelancong mereka tidak biasa.

"Ada yang menyangka Kukup dilanda banjir, sebab mereka tidak tahu tentang air pasang besar," katanya.

Pekan Kukup dilanda air pasang besar pada tengah hari Ahad.
Pekan Kukup dilanda air pasang besar pada tengah hari Ahad.

Jelasnya, kebenaran rentas negeri sejak bulan lalu, menyaksikan ramai pelancong datang ke Kukup untuk bercuti di chalet di atas air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Mahadir Mamat berkata, fenomena itu menyebabkan air naik setinggi 3.1 meter sekitar jam 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pekan Kukup antara kawasan di daerah ini dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar pada Ahad.

Bagaimanapun, air mula surut jam 2 petang berikutan cuaca yang semakin baik.

"Seramai sembilan anggota bomba dari BBP Pontian Baru melakukan pemantauan di beberapa kawasan antaranya di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pekan Kukup dan Tanjung Bin," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Fenomena air pasang itu terkawal dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.