Pemuda 'tidak serik' curi tabung masjid

Ganti (tiga,kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas di rumah suspek berkenaan.
Ganti (tiga,kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas di rumah suspek berkenaan.
A
A
A

MACHANG - Seorang pemuda berusia 24 tahun berjaya ditangkap apabila tindakannya mencuri tabung sebuah masjid di daerah ini terbongkar melalui kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan bulan lalu.

Pemuda berkenaan dipercayai telah melakukan kegiatan pecah rumah dan pecah tabung masjid sejak Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Ganti Jimmy berkata, penangkapan berkenaan juga dilakukan berdasarkan laporan yang dibuat seorang jemaah masjid bulan lalu.

"Jemaah masjid berkenaan mendapati tabung masjid bersepah serta beralih tempat. Selepas membuat siasatan awal berdasarkan CCTV, jemaah berkenaan membuat laporan pada hari kejadian.

"Suspek berjaya ditahan pada 25 Oktober di kediamannya di Lalok dan mengaku mencuri tabung masjid berkenaan.

"Ujian urin juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin dan baharu sahaja keluar daripada penjara tahun lalu. Suspek turut mempunyai 17 rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah," katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ganti berkata, suspek terbabit turut mengaku terlibat dalam 15 kes pecah rumah dan pecah tabung masjid di daerah ini dan Kuala Krai sejak beberapa bulan yang lalu.

Beliau berkata, semasa tangkapan dilakukan, pihaknya juga menemui beberapa barangan berharga seperti komputer riba, mesin rumput, tabung masjid yang mengandungi duit, beg sandang dan kad bank.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua barangan rampasan adalah bernilai RM8,000 dan ditemui di sekitar rumah suspek, rumah rakannya serta di dalam semak berhampiran kediamannya.

"Suspek telah direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 411 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, dua lelaki berusia 30 tahun pula ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Hutan Puteh pada 3 November lalu selepas polis berjaya menemui 1,600 biji pil yang dipercayai dadah di rumah berkenaan.

Ganti berkata, pil yang berwarna merah dan hijau tersebut dipercayai di letak di dalam lapan peket plastik berwarna biru dan dijumpai di dalam poket seluar pendek yang dipakai salah seorang suspek.

"Selain itu, 10 biji pil yang juga disyaki dadah ditemui dalam bekas tin berwarna biru di atas lantai di mana kedua-dua suspek berada. Turut dirampas wang tunai RM2,000 dan sebuah kereta jenis proton wira.

"Suspek yang dipercayai antara pembekal dadah di sekitar daerah ini direman sehingga 10 November ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,"katanya.