Konvoi sekumpulan mahasiswa bertukar tragedi, seorang maut nahas

Keadaan motosikal mangsa yang terlibat nahas. (Gambar kanan) Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Keadaan motosikal mangsa yang terlibat nahas. (Gambar kanan) Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Hasrat sekumpulan mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, Johor untuk bercuti ke Terengganu tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 390.1 (KM) Jalan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), (Bukit Besi - Ajil) di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi, mangsa, Mior Farhansyamil Mior Shaharuddin, 23, beralamat di Pulau Pinang, yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF- R25 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di dada.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati mereka berkonvoi lebih kurang 14 buah motosikal bertolak dari Johor kira- kira jam 4.30 petang pada Sabtu menuju ke Terengganu untuk bercuti.

"Setibanya di lokasi kejadian, difahamkan motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas akibat bergesel dengan sebuah lori treler jenis Volvo dipandu lelaki berusia 47 tahun yang membawa muatan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) semasa hendak memotong kenderaan berat tersebut," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.

Mohd Adli berkata, akibat insiden tersebut, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: