Pecah amanah: Syarikat pembinaan rugi RM4.3 juta

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Sebuah syarikat pembinaan di Bandar Bukit Tinggi, di sini, rugi RM4.3 juta selepas berlaku kes pecah amanah yang dipercayai dilakukan pengurus akauntannya.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian itu mula disedari pengurus bahagian sumber manusia syarikat terbabit pada 1 Mac lalu.

Menurutnya, pengurus terbabit mendapati salah seorang pekerja syarikat seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun telah menghilangkan diri sejak 19 Januari lalu.

"Hasil siasatan dalaman syarikat mendapati pekerja terbabit disyaki melakukan pecah amanah selaku pengurus akauntan syarikat dengan menggelapkan wang syarikat kira-kira RM4.3 juta.

"Lelaki terbabit mula bekerja dengan syarikat tersebut sejak 15 Jun tahun lalu yang ditugaskan untuk mentadbir bahagian perakaunan dan menguruskan hal kewangan syarikat," katanya kepada Sinar Harian.

Shamsul Amar berkata, pada 19 Januari lalu, lelaki terbabit didapati mula tidak datang bekerja selain meminta bantuan sebanyak RM45,000 dengan pihak syarikat untuk membiayai kos pembedahan jantung di Singapura.

Namun, semakan lanjut mendapati lelaki terbabit disyaki telah membuat beberapa tuntutan palsu yang dimasukkan ke akaun peribadinya dan juga akaun individu lain.

Tambahnya, susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali lelaki terbabit iaitu Hoh Kian Kuen boleh salurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Klang Selatan, Asisten Superintendan Rafi Arifai di talian 012-240 4749 atau mana-mana balai berdekatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan," katanya.