X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

'Sudah terlambat, tiada tempat untuk Bersatu dalam PRN Sarawak'

Abdul Karim - Foto Astro Awani
A
A

KUCHING - Sudah terlambat bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meletakkan calon mereka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN) ke-12 Sarawak.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah meletakkan calon di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari setiap parti komponen.

Justeru jelasnya, sudah tidak ada peluang dan ruang yang tersedia buat mana-mana parti daripada Semenanjung untuk bertanding dalam PRN kali ini walaupun GPS mesra Kerajaan Persekutuan.

“Jika GPS bertanding di semua 82 kerusi DUN, saya tidak rasa akan ada lagi kerusi yang tinggal untuk sahabat parti kita dari semenanjung walaupun GPS mesra dengan Kerajaan Persekutuan.

“Mereka mesti menghormati perkara ini dan GPS juga telah meletakkan setiap calon daripada setiap komponen parti yang kita ada (PBB, SUPP, PDP dan PRS).

“Kita telah berbincang bersama calon dari setiap komponen parti siapa yang akan bertanding di DUN berkenaan. Mereka (Bersatu) sudah terlambat,” katanya semasa ditemui pemberita selepas merasmikan flag-off Sarawak Adventure Challenge di Siniawan Bau pada Ahad.

Tambahnya, penyandang ADUN Krian, Datuk Ali Biju perlu mengikuti pendirian Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin yang telah mengesahkan tidak akan bertanding untuk dapatkan kerusi di DUN Sarawak dalam PRN ke-12 sebaliknya memberi laluan dan sokongan penuh kepada GPS.

“Datuk Willie Mongin juga akan memberikan sokongan kepada wakil GPS di dalam kawasan Parlimen beliau dan tidak akan bertanding dalam pilihan kali ini, maka ia adalah satu tindakan yang baik yang juga perlu diikuti oleh ahli parlimen atau ADUN yang bukan daripada GPS.

“Saya percaya PRN kali ini, GPS bakal menang bergaya kerana kita tidak bertanding untuk kalah, dan kita berharap rakyat Sarawak atau pengundi di negeri ini mengembalikan mandat itu kepada GPS,” katanya.

Untuk rekod, PRN ke-11 Sarawak, Datuk Ali Biju yang juga calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu berjaya menewaskan wakil calon Barisan Nasional (BN) Kilat Beriak di DUN Krian dengan majoriti 1,640 undi. - Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!