Kes Covid-19 turun lagi, 4,343 kes hari ini

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia kekal menunjukkan trend penurunan dengan 4,343 kes baharu dicatat setakat 12 tengah hari tadi daripada 4,701 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,506,309.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah kes baharu yang direkodkan juga lebih rendah berbanding kes sembuh hari ini iaitu 5,190 kes, sementara jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 2,412,395.

"Daripada jumlah kes baharu hari ini, 68 kes atau 1.6 peratus melibatkan Kategori Tiga, Empat dan Lima, manakala baki 4,275 kes atau 98.4 peratus lagi adalah terdiri daripada Kategori Satu dan Dua," katanya dalam satu kenyataan mengenai situasi Covid-19 pada Ahad.

Beliau berkata jumlah berkenaan juga termasuk sembilan kes import melibatkan enam warga tempatan dan tiga bukan warganegara dan 4,334 kes penularan tempatan melibatkan 4,120 warga tempatan dan 214 bukan warganegara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat 554 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 272 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, sebanyak tujuh kluster baharu dicatatkan melibatkan kategori komuniti, tempat kerja dan pendidikan tinggi di Kelantan, Johor, Sabah, Pulau Pinang dan Melaka, menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 325 kluster.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata, negara kini merekodkan nilai 0.91 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.09 dan nilai sifar direkodkan di Labuan.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. -Bernama