Pas perlu beri peluang lebih ramai Muslimat jadi calon PRU15

Dr Rosni - Foto FB Rosni Adam
Dr Rosni - Foto FB Rosni Adam
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas perlu memberi peluang dan menampilkan lebih ramai calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Dr Rosni Adam.

Beliau berkata, cadangan itu bukan sahaja untuk meraih perhatian dan sokongan pengundi wanita yang hampir 50 peratus tetapi juga membolehkan golongan itu berjuang dengan cara tersendiri.

“Kita lihat calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya seorang daripada lapan calon, hanya 12.5 peratus.

“Saya yakin insya-ALLAH, dalam PRU15 nanti, peratus ini akan bertambah. Berilah kami peluang untuk membantu memperjuangkan agama ALLAH ini melalui gerakan wanita, sebab kita tahu hampir 50 peratus pengundi di luar sana adalah wanita tidak kira umur,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di Muktamar Tahunan PAS ke-67 di sini pada Ahad.

Dr Rosni berkata, sekiranya Pas mahu meletakkan calon wanita muda, pihaknya sedia bekerjasama dan akan menampilkannya mengikut kriteria yang ditetapkan.

“Nak calon wanita muda, kita boleh bagi calon wanita muda. Kita yang berumur ini boleh berundur jika nak muka-muka segar kerana tangan yang menghayun buaian mampu mempertahankan Malaysia,” katanya yang kemudiannya mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan lain.

Muktamar Pas bertemakan Islam Menyatukan Ummah berlangsung dua hari bermula pada Sabtu, dan diadakan secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal, manakala selebihnya secara maya.

Perwakilan negeri berada di negeri masing-masing kecuali perwakilan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang serta kesemua 197 Yang Dipertua Pas kawasan yang hadir secara fizikal. - Bernama

Artikel Berkaitan: