250 permohonan sertai I-Seed diluluskan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak di Selangor, Ahmad Mustain Othman (dua dari kanan) bersama Unit Penyelaras i-Seed menyerahkan bantuan peti sejuk kepada penjual bunga di Sabak Bernam, Sivaguru (tiga dari kanan).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak di Selangor, Ahmad Mustain Othman (dua dari kanan) bersama Unit Penyelaras i-Seed menyerahkan bantuan peti sejuk kepada penjual bunga di Sabak Bernam, Sivaguru (tiga dari kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor meluluskan sebanyak 250 permohonan usahawan untuk menyertai program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) setakat ini.

Terbaharu, lima usahawan di Sabak Bernam turut menerima bantuan peralatan perniagaan yang disalurkan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui peruntukan kerajaan negeri itu.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau berkata, bantuan peralatan perniagaan berkenaan disalurkan terus kepada penerima.

"Lima usahawan di Sabak Bernam yang menyertai program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) menerima alatan perniagaan itu pada Selasa lalu.

"Bantuan berjumlah RM20,800 diserahkan kepada pengusaha kedai bunga, kedai runcit, kedai bakeri, kedai jahit dan kedai makanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

V Ganabatirau berkata, penyerahan peralatan bagi fasa satu membabitkan peti sejuk dua pintu, ketuhar elektrik, mesin menguli, mesin jahit sulaman, meja roti canai dan dapur gas.

“Diharap bantuan ini dapat dimanfaatkan penerima sekali gus mengurangkan kos perniagaan memandangkan ada yang terpaksa menyewa peralatan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, Unit I-Seed juga berjaya melalui rintangan dan menepati janji untuk menyerahkan bantuan kepada para pemohon meskipun negara dilanda Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Permohonan baharu boleh dibuat menerusi ketua komuniti atau ketua kampung dan mesyuarat bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menilai serta meluluskan pemohon yang layak.