Bekas Exco Johor diperintah bela diri tuduhan rasuah, gubah wang haram

Abdul Latif (kanan) berbincang dengan barisan peguamnya sebelum bermula prosiding bagi pertuduhan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor Bahru pada Ahad.
Abdul Latif (kanan) berbincang dengan barisan peguamnya sebelum bermula prosiding bagi pertuduhan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Ahad memerintahkan bekas Exco kerajaan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub membela diri terhadap 37 pertuduhan rasuah.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut selepas selesai prosiding sekali gus mengenepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan ketiga-tiga tertuduh.

Timbalan Pengarah I, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru terdahulu adalah salah.

Wan Shaharuddin (dua kiri) bersama barisan pendakwaan selepas prosiding bagi pertuduhan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Ahad.
Wan Shaharuddin (dua kiri) bersama barisan pendakwaan selepas prosiding bagi pertuduhan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Ahad.

*

Menurutnya, Mahkamah Sesyen sebelum ini didapati tidak mempertimbangkan banyak isu-isu penting dalam kes tersebut.

"Hakim juga telah menetapkan jaminan berjumlah RM1.1 juta untuk ketiga-tiga tertuduh dengan cagaran tanah.

"Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 14 November ini," katanya ketika ditemui selepas tamat prosiding tersebut di luar mahkamah.

Sementara itu, peguam Abdul Latif, Datuk Salehuddin Saidin berkata, keputusan ini bukan satu pengakhiran bagi mereka walaupun selepas kes tersebut dibuktikan sebagai prima facie.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kami akan terus mewakili anak guaman kami bagi membuktikan beliau tidak bersalah atas segala pertuduhan terhadapnya. Mereka masih belum dibuktikan bersalah.

"Apa yang perlu saya tekankan anak guaman kami telah menghormati proses undang-undang dan yakin akan hadir di mahkamah walaupun jumlah jaminan dikurangkan iaitu ditetapkan RM1.1 juta. Jaminan itu dalam bentuk tanah yang dicagarkan," katanya.

Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan jumlah lebih RM30 juta.

Salehuddin (kanan) bersama barisan pembelaan selepas prosiding bagi pertuduhan kes rasuah Datuk Abdul Latif Bandi di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor Bahru pada Ahad.
Salehuddin (kanan) bersama barisan pembelaan selepas prosiding bagi pertuduhan kes rasuah Datuk Abdul Latif Bandi di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor Bahru pada Ahad.

Selain itu, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan terhadap mereka.

Pada 14 Jun 2017, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing dihadapkan dengan empat pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Sebelum itu, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selain Wan Shaharuddin, barisan pendakwaan turut disertai Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander7 Lim Wai Keong.

Selain Salehuddin, tertuduh turut diwakili Datuk Hasnal Redzua Merican.