Percaturan BN mengejutkan tetapi berani

Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) pada sidang media pengumuman calon bagi PRN Melaka pada Sabtu.
Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) pada sidang media pengumuman calon bagi PRN Melaka pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Barisan Nasional (BN) yang memilih untuk bergerak secara solo dengan menampilkan ramai muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini dilihat sebagai satu percaturan mengejutkan tetapi berani.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub
Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keputusan itu bakal memberi persaingan sengit bukan sahaja kepada Pakatan Harapan (PH), tetapi juga kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, ia sekali gus memberi gambaran bahawa BN khususnya UMNO sudah bersedia mereformasi calon mereka dengan membawa muka-muka baharu dan tidak lagi terikat dengan calon lama yang sebenarnya sudah tidak perlu lagi kekal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya melihat percaturan hari ini sangat mengejutkan kerana 86 peratus calon muka baharu diketengahkan, namun saya setuju UMNO perlu diberi ruang dan peluang untuk meremajakan parti.

“Apabila DAP mengumumkan senarai calon yang terdiri daripada calon muda, maka kita lihat UMNO juga mengambil inisiatif sama untuk bersaing atas padang yang sama dengan mengemukakan calon yang lebih segar dalam PRN Melaka.

“Ini juga gambaran bahawa UMNO akan berjaya dan mampu mendapat majoriti lebih daripada 15 kerusi dengan jangkaan sekurang-kurangnya menang 18 hingga 20 kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, jangkaan itu dibuat atas bumi nyata yang mana realitinya Melaka adalah kubu yang kuat bagi UMNO.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, calon BN mungkin akan menemui jalan sukar untuk bertempur dan bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu misalnya di kawasan bandar.

“Tidak mustahil pertembungan tiga penjuru di kawasan bandar boleh memberi peluang kepada UMNO atau BN untuk menang di kawasan tersebut,” ujarnya.

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr Kamarul Zaman Yusoff

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tindakan BN hari ini merupakan satu eksperimen yang berani dan baik daripada UMNO pusat dan Melaka dengan mengekalkan hanya empat muka lama dalam PRN Melaka nanti.

“Ia juga secara tidak langsung menunjukkan semangat parti itu untuk melakukan ‘rejuvenasi’ atau penjenamaan semula UMNO dengan menonjolkan muka-muka baharu.

“Walaupun sudah pasti sedikit sebanyak bekas wakil rakyat yang digugurkan akan terkesan, terasa hati dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, calon bebas yang bakal bertanding dalam PRN Melaka nanti hanyalah sekadar untuk memeriahkan lagi suasana demokrasi.

“Berdasarkan realiti politik negara kita, sudah pasti mereka akan menempuh kekalahan melainkan calon bebas ini ialah nama besar yang banyak berjasa kepada pengundi di sesuatu kawasan.

“Itu pun tipis kerana ikut kelaziman, calon bebas hanyalah calon yang biasa-biasa sahaja,” ujar beliau.