Polemik sastera Melayu dan Barat

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

BERDASARKAN sejarah, dunia sastera memang tidak sunyi dengan polemik. Pertentangan idea, gagasan dan teori telah terjadi sejak terciptanya dunia sastera.

Plato dan Aristotle telah memulakannya, atas perbezaan sastera bersifat sosiologikal dengan formalistik. Debat Asas 50 'Sastera untuk Masyarakat' dengan 'Seni untuk Seni' adalah zuriat polemik daripada dua tokoh Greek itu. Malah, menurut Rene Wellek Theory of Literature (1948), buku teori moden yang pertama, pertembungan antara kritikan intrinsik dengan ekstrinsik akan terus berlanjutan.

Polemik memerah akal mencetuskan idea bernas, mementingkan yang hak dan kebenaran menjadi katalis berguna, untuk merancang sastera masa hadapan. Tetapi, jika dikendalikan dengan emosi dan tanpa moral, akan membawa nada sumbang dan merugikan.

Salah satu polemiknya ialah pertembungan dengan Barat, berkait dengan genre dan teori sastera. Dikatakan, sejarah, tradisi, budaya dan falsafah Barat bertentangan dengan Timur. Baru-baru ini timbul, bahawa sastera Melayu moden bawaan dari Barat itu, berbentuk hiburan dan disebarkan oleh dalang serta penuh dosa. Pemukanya menyatakan, karyanya yang buruk dan menawarkan pengalaman emosi. Tidak banyak nasihat, faedah dan kebijaksanaan. Malah, karya itu banjir dengan penceritaan, patut diharamkan!

Sementara itu, genre sajak, cerpen, novel dan drama adalah ciptaan Barat, yang genesisnya daripada tradisi keintelektualan yang dipengaruhi pandangan hidup Greek, yang berasaskan mitos dewa-dewa juga tradisi gereja Roman-Katolik, yang menjadikan Injil sebagai sumbernya patut disangsikan.

Pertentangan nilai sebegini, kita temui dalam sepanjang polemik sastera Melayu. Pernah Shahnon Ahmad menolak kritikan Yahaya Ismail, yang mengaplikasikan pendekatan Barat, yang sepenuhnya berjiwa Barat. Shahnon Ahmad telah menulis Krisis Penciptaan dalam Sastera Melayu dan Sasterawan dan Penyair Kita Adalah Seperti Bayang-Bayang. Yahaya kemudian membidas dengan mengeluarkan kenyataan, “Shahnon Ahmad Pencipta Bayang-bayang” dan “Shahnon Lupa Tugas Kritikus”. Begitulah bertali arus polemik itu yang disiarkan dalam majalah Mastika dekad 1970-an.

Jiwa Melayu

Shahnon mahukan kritikan haruslah berpusat kepada jiwa Melayu, sedangkan Yahaya tetap berkeras, kritikan sastera Melayu masih memerlukan penggunaan pendekatan Barat.

Shahnon berhujah, sudah sampai masanya kritikan sastera Melayu menggunakan sentrisme Melayu kerana karya sastera tanah air dicipta oleh orang Melayu yang mempunyai budaya dan intelektual tempatan; bagaimana ukur-taranya menggunakan Barat? Bagi Yahaya, bahawa anutan, aliran, pemikiran dan falsafah Barat, telah lama dipegang oleh penulis negara, oleh itu pendekatan dan teori Barat sangat sesuai digunakan untuk menilai karya sastera.

Artikel Berkaitan:

Implikasi polemik itu, pemangkin kepada penciptaan teori sendiri. Lahirlah Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Salleh, Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang dan Teksdealisme oleh Mana Sikana.

Muhammad Salleh pula berpolemik dengan Mohd. Affandi Hassan, yang mengecam teorinya tidak islamik. Malah, puisinya Sajak-sajak dari Sejarah Melayu (1981) pun dikatakan karya ciplakan. Seandainya mengikuti teori sastera pascamoden, Muhammad Haji Salleh sebenarnya mengaplikasikan teori intertekstual dan parodi, yang diperkuatkan dengan teknik metahistoriografi. Polemik dekad 1980-an itu berlarutan, digerakkan oleh emosi dengan bahasa kesat dan kasar, sehingga hampir-hampir diselesaikan di mahkamah.

Muhammad Affandi juga pernah berpolemik dengan saya, tentang konsep absurdisme aliran yang bersumberkan karya Barat yang sesat. Hujah saya, yang digunakan bukannya falsafah Barat tetapi teknik pengkaryaannya yang anti-struktural Aristotle. Pertelingkahan bermula di Dewan Sastera berpindah ke Utusan Zaman dekad 1990-an.

Sebuah polemik yang dianggap bermanfaat dan cerdik ialah antara Shahnon dengan Kassim Ahmad terhadap definisi, konsep dan teori sastera Islam. Teras pemikiran Shahnon ialah penerapan Islam dengan ciri-ciri penting untuk melahirkan kesusasteraan Islam, “sastera untuk Allah berhikmah untuk manusia”. Sambil itu terdapat kesan negatif bahayanya apabila sasterawan terpengaruh dengan racun sekular Barat.

Kassim menolak sebagai lemah dan samar-samar. “Penentuan terhadap definisi sastera perlu menurut logik dengan menggunakan akal”, sanggahnya. Bagi Kassim juga, sesiapa sahaja boleh melahirkan sastera Islam tidak kira muslim atau pun tidak, andainya dia berjaya mengikut garis estetika Islam dan karyanya bermanfaat kepada manusia. Konsep sastera Islam pegangan Kassim itu, berbeza mengikut takrif dan taklif Shahnon yang syarat utamanya mestilah syahadahnya.

Meskipun polemik itu gagal mencapai kata sepakat terhadap konsep teori sastera Islam, tetapi ia sebuah mujadalah yang rasional dan berdisiplin. Implikasinya, beberapa tokoh sastera berusaha mendirikan beberapa teori Islam, seperti Shafie Abu Bakar dengan Takmilah, Hashim Awang dengan Pengkaedahan Islam dan Mana Sikana dengan Teori Taabudiyah.

Dalam polemik menolak genre dan teori sastera Barat, patut kita berguru kepada sejarah sastera Bani Abasiyah, yang mengambil sastera Greek ke dalam khazanah sastera Islam. Yahya ibnu al-Batriq, menterjemahkan The Republic karya Plato dan The Poetics oleh Aristotle pada zaman Khalifah al-Mansur. Kemudian Qudamah mengadaptasinya dan menghasilkan dua buah buku aslinya, yang berupa teori dan kritikan sastera Naqdu al-Syikry, Kritikan Puisi dan Naqdu al-Nasry (Kritikan Prosa).

Ambil yang positif

Jahiz, penyair dan peneliti sastera terkenal Abasiyah berkata, “Bahawa sejarah orang kita Muslim, tidak memiliki pengetahuan dan pelajaran sastera, sejarah dan ilmu mereka berada di belakang kita, seandainya kita tidak mengenalinya, dunia kita akan jadi mengecil dan kita perlu mendapatkan ilmunya untuk mengembangkan sastera kita.”

Atas keperluan, pembaharuan dan pengukuhan sastera, ambillah yang positifnya. Yang diambil itu pun hanya akal dan ilmunya, bukan falsafah dan budayanya.

Itulah yang dilakukan sejak dari zaman Abasiyah lagi, implikasinya memperteguh penulisan karya, teori dan kritikan sastera. Muncul sasterawan agungnya seperti Fardausi, Rumi, Sa’adi, Nizami, Jami, Anwari, Hafiz, Attar, Abi Hanifah, Ibnu al-Muqaffa, Basyar dan Abu Nawas dan pengkritik besarnya seperti Yahya ibnu al-Batriq, Qudamah dan al-Jahiz sendiri.

Hujah ini membuktikan bahawa sastera orang Islam, tidak berdosa mengaplikasikan genre dan teori sastera daripada tradisi luaran.

Zaman Jahiliyah terkenal dengan genre syair, kisah dan amsal, kaya dengan tema permusuhan, peperangan, kemegahan dan kekayaan. Kedatangan Islam telah menggantikannya dengan tauhid, syariat dan akhlak Islami.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia