Perebutan kerusi PRN Melaka semakin hangat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM- Tiga gabungan besar politik negara iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) telah mengumumkan calon-calon yang bakal bertanding untuk merebut kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ada daripada mereka mengekalkan calon lama dan ada juga yang mengetengahkan calon baharu yang dianggap mampu untuk menarik undi rakyat di negeri tersebut.

Lebih menarik lagi apabila anak muda juga turut diberikan peluang dan kepercayaan dalam memberikan saingan di sesebuah kawasan di negeri itu.

Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara umumnya calon-calon yang diketengahkan dalam PRN Melaka mewakili PH adalah muka baru dancalon paling muda ialah Farzana Hayani Mohd Nasir (Sungai Rambai) yang berumur 21 tahun.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, 86 peratus muka baharu ditampilkan dan kebanyakannya berusia 50 tahun kebawah.

Bagi PN pula, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, sebanyak 43 peratus daripada calon yang diumumkan adalah berusia 40 tahun ke bawah.

Jelas membuktikan bahawa, ketiga-tiga gabungan besar politik itu mempunyai percaturan yang berbeza untuk meraih undi rakyat Melaka sekaligus berjaya memerintah dan mentadbir di negeri itu.

Ketiga-tiga gabungan tersebut mengumumkan akan bertanding di semua 28 DUN Melaka yang melibatkan BN iaitu UMNO sebanyak 20 kerusi, MCA (tujuh kerusi), MIC (satu kerusi), manakala PH pula, DAP (lapan kerusi), Parti Amanah Negara (sembilan kerusi) dan Parti Keadilan Rakyat (11 kerusi).

Artikel Berkaitan:

Bagi PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebanyak 15 kerusi, Pas lapan kerusi dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia, lima kerusi.

Selain itu, PH sah mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai calon gabungan parti itu pada PRN Melaka.

Anwar berkata, Idris akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan manakala Nor Azman di Pantai Kundor.