JAIPk galak masjid buat program

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi kebebasan kepada pengurusan masjid untuk mengadakan program bagi mengimarahkan rumah ibadat itu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, semua masjid di negeri ini dialu-alukan untuk merangka dan menjalankan aktiviti yang boleh menarik lebih ramai ahli kariah ke masjid.

Beliau berkata, selain program-program kuliah yang diadakan hampir setiap hari di masjid-masjid yang bertujuan mengimarahkan dari sudut ilmu, pihak pengurusan masjid juga boleh mengadakan program lain untuk menarik lebih ramai penduduk setempat ke masjid.

"Sebelum ini kita sudah adakan kempen solat Subuh berjemaah di masjid dan ia berjaya. Kini kita buat kempen solat berjemaah di masjid untuk tarik orang ramai ke masjid setiap waktu solat.

"Selain itu kita alu-alukan semua masjid di negeri ini buat program untuk tarik minat orang ramai datang ke masjid," katanya kepada pemberita, malam tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena promosi Karnival Mahabbah Masjid Muhibbuddin Shah 1.0 @ Stadium Indera Mulia di Hotel Syeun, di sini.

Mengenai karnival tersebut, Mohd Yusop berkata, ia merupakan julung kali diadakan dengan kerjasama Surau Al-Hijrah dan disokong oleh JAIPk, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Hotel Syeun.

Mohd Yusop (kanan) membuat gimik sempena sidang media tersebut.
Mohd Yusop (kanan) membuat gimik sempena sidang media tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program tersebut bertujuan untuk mencari dana khusus bagi mengimarahkan masjid pada bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti diadakan.

Menurutnya, antara yang menarik sepanjang lima hari karnival tersebut berlangsung adalah gerai jualan, ceramah agama, forum perdana, majlis makan malam amal, pertandingan Bilal Junior, Bilal Senior, Fun Run, Fun Ride dan sebagainya.

Beliau berkata, program yang bakal berlangsung bermula 24 hingga 28 April itu turut meraikan golongan asnaf melalui program sumbangan yang adakan.

"Kesemua program akan berlangsung di Stadium Indera Mulia memandangkan kawasan masjid terhad dan kita anggarkan sepanjang lima hari penganjuran itu boleh menarik lebih 100,000 pengunjung.

"Insya-ALLAH, karnival ini akan dijadikan sebagai acara tahunan bagi Masjid Muhibbuddin Shah," katanya.

Sementara itu, pada Majlis Makan Malam Amal sempena karnival tersebut turut menampilkan selebriti terkenal tanah air seperti kumpulan Hijjaz dan penampilan istimewa penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.