Jumlah mangsa banjir di Kedah, Johor menurun

Sebahagian penduduk di kawasan Kuala Kedah sedang menimba air keluar dari rumah mereka berikutan berlakunya fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan Bernama semalam. - Foto Bernama
Sebahagian penduduk di kawasan Kuala Kedah sedang menimba air keluar dari rumah mereka berikutan berlakunya fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan Bernama semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir akibat hujan dan fenomena air pasang besar di Kedah dan Johor menunjukkan penurunan pada petang Sabtu dengan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Di Kedah, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, jumlah mangsa yang berada di PPS berkurangan kepada 858 orang daripada 233 keluarga setakat jam 4 petang Sabtu berbanding 885 orang daripada 240 keluarga di sebelah pagi.

Beliau berkata, 567 orang daripada 157 keluarga di Kota Setar ditempatkan di tujuh PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar, SK Suka Menanti, SK Darul Hikmah, SK Convent, SK Titi Gajah serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent dan SMK Simpang Kuala.

Di Pendang, 287 orang daripada 75 keluarga kekal berada di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dan PPS Dewan Cenderawasih manakala empat orang daripada sebuah keluarga di Pokok Sena ditempatkan di PPS SK Tualang.

"Sementara itu, di Baling, PPS SK Tembak A yang dibuka petang semalam bagi menempatkan 10 orang daripada sebuah keluarga telah ditutup sepenuhnya pada 2 petang tadi," katanya.

Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi menurun kepada lima orang setakat jam 6 petang berbanding 48 orang pagi Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, sebuah PPS iaitu Dewan Kampung Baru Sungai Mas yang menempatkan 43 orang daripada lapan keluarga yang dibuka pada jam 8 malam Jumaat ditutup sepenuhnya jam 6 petang Sabtu.

“Hanya sebuah PPS masih beroperasi di daerah itu iaitu Balai Raya Kampung Muhibbah yang menempatkan lima orang daripada sebuah keluarga," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Vidyananthan berkata, hujan lebat selama dua jam petang Jumaat dan pertembungan air pasang telah menyebabkan kediaman penduduk di Kampung Baru Sungai Mas dan Kampung Muhibbah dinaiki air.