Pas perlu progresif, kikis imej 'parti pantai timur'

Perwakilan Pas mendengar ucapan dasar dan perasmian disampaikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas ke-67 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Perwakilan Pas mendengar ucapan dasar dan perasmian disampaikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas ke-67 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas perlu mengambil pendekatan lebih progresif bagi mengikis imej 'parti pantai timur' jika ingin lebih diterima di Sarawak.

Pendapat itu disuarakan perwakilan Pas Sarawak, Abdul Halim Abdul Kadir yang mahukan parti itu lebih terbuka dan memilih medium dakwah bersesuaian dengan latar belakang masyarakat di Bumi Kenyalang yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.

Beliau berkata, imej yang lebih sederhana akan membolehkan Pas lebih mudah diterima oleh masyarakat majmuk Sarawak seterusnya membuka ruang lebih besar bagi parti itu meluaskan pengaruhnya.

"Imej Pas sebagai parti eksklusif masyarakat Semenanjung dan pantai timur sewajibnya dikikis dan ditangani dari awal lagi.

"Amat malang jika peluang dakwah yang terbentang luas di Sarawak tidak dimanfaatkan sebaiknya hanya kerana persepsi negatif dan salah tanggapan dalam kalangan masyarakat," katanya ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Yang Dipertua Pas Bintulu turut mencadangkan supaya diwujudkan sistem potongan infak yang lebih sistematik dan lestari dalam kalangan ahli bagi menggantikan imej gerakan 'tin milo' yang sinonim dengan parti itu.

"Tak dinafikan Pas selama ini mampu bertahan dan berkembang melalui kaedah konvensionalnya iaitu gerakan 'tin milo' tetapi alangkah baik jika kita ada sistem pengurusan dana yang lebih komprehensif,” katanya.

Sementara itu, perwakilan Pas Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim berpendapat prinsip penyatuan ummah yang sering dilaungkan pimpinan parti perlu diterjemahkan dalam kesatuan parti-parti mewakili kaum Melayu dan Islam sama ada melalui Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional untuk mendapatkan semula Pulau Pinang daripada Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penyatuan antara Pas, UMNO dan Bersatu itu amat penting dalam memperjuangkan isu-isu yang membelenggu masyarakat Melayu di negeri itu seperti perancangan dan pembangunan beberapa projek di Pulau Pinang yang disifatkan sebagai usaha menghapuskan perkampungan-perkampungan Melayu. - Bernama