26 termasuk remaja bawah umur ditahan berparti liar di kondo mewah

Seramai 26 individu ditahan di sebuah kondominium mewah di Georgetown pada awal pagi Sabtu.
Seramai 26 individu ditahan di sebuah kondominium mewah di Georgetown pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 26 individu termasuk remaja bawah umur ditahan ketika sedang leka berparti liar di sebuah kondominium mewah di sini pada awal pagi Sabtu.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 11 wanita berusia lingkungan 13 hingga 21 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, ketika serbuan pada jam 1.30 pagi itu, kesemua yang ditahan sedang berhibur dalam keadaan muzik yang dipasang kuat.

Beliau berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas menerima maklumat awam.

"Kesemua mereka merupakan kenalan dan menyewa kondominium tersebut untuk berhibur. Mereka dipercayai menyewa kondominium tersebut dengan kadar sewa RM500 untuk sehari menerusi laman sosial.

"Mereka berkongsi membayar sewa kondominium itu dengan bayaran RM50 setiap seorang untuk lelaki manakala wanita membayar RM30 setiap seorang," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook PDRM Pulau Pinang pada Sabtu.

Rahimi berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua peserta menunjukkan negatif.

"Kita turut merampas peralatan sistem audio yang digunakan untuk tujuan berparti.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) (No 2) 2021," katanya.