Kementerian Pertahanan hormati keputusan mahkamah

Allahyarham Zulfarhan
Allahyarham Zulfarhan
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertahanan menghormati keputusan mahkamah berhubung kes Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain dan berharap kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, pihak kementerian telah mengambil tindakan serta langkah-langkah tertentu bagi memastikan kes seumpama itu tidak berlaku lagi, justeru masyarakat diminta tidak lagi mengaitkan pelbagai isu dengan kes berkenaan.

“Mahkamah telah membuat keputusan, ada perbicaraan dan pembentangan sebelum keputusan dibuat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, seramai 500 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat atau terlibat dengan operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) bermula tahun 1969 hingga 1989 menerima anugerah PJM.

Selasa lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut UPNM yang didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat pada Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

Sementara itu Ikmal Hisham berkata, kementeriannya sentiasa berusaha menambah baik tahap kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM.

"Kementerian Pertahanan telah melancarkan inisiatif 100 Hari Mindef yang turut melibatkan kebajikan veteran ATM antaranya dengan memperkenalkan aplikasi dalam talian MyVeteran Mall (VMALL).

"Inisiatif ini merupakan kolaboratif dengan Syarikat MIDC Technology Sdn Bhd bagi penyediaan platform digital tersebut yang membolehkan usahawan veteran ATM melakukan aktiviti perniagaan secara digital," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan seramai 200 usahawan veteran ATM mendaftar menggunakan aplikasi itu yang berupaya memperluaskan jaringan atau rangkaian perniagaan dan promosi bagi produk mahupun perkhidmatan di peringkat global. - Bernama