Empat didakwa hina Islam, Rasulullah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memfailkan pertuduhan terhadap empat pemilik akaun media sosial kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W, dengan seorang daripada mereka telah dijatuhi hukuman penjara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pertuduhan terhadap empat individu terbabit yang dibuat semalam kerana memuat naik komen-komen berbentuk penghinaan itu adalah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

"Pemilik akaun Facebook AYEA YEA dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM.

"Tertuduh mengaku salah terhadap 10 pertuduhan dan telah dijatuhi hukuman 10 tahun 10 bulan penjara, yang berjalan secara berasingan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya turut difailkan pertuduhan ialah pemilik akaun Twitter @ ALVINCHOW333 yang dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini di bawah Seksyen 298A KK, Seksyen 505(c) KK dah Seksyen 233 AKMM.

“Tertuduh tidak mengaku salah bagi lapan pertuduhan yang dibaca. Tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019,” katanya.

Beliau berkata pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonio Jr’ pula dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM serta mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April.

Dalam pada itu, katanya pemilik akaun Facebook ‘YAZID KONG’ yang dituduh di mahkamah sama mengaku salah dan pendengaran fakta kes serta hukuman akan ditentukan pada 11 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Seksyen 298A KK merupakan kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama.

Seksyen 505(c) KK pula berkaitan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain manakala Seksyen 233 AKMM melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.

Fuzi berkata orang ramai dinasihat agar tidak menyalahgunakan media sosial atau rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman. - Bernama