Selesaikan infrastruktur asas untuk Sabah berkembang pesat

Ismail Sabri diiringi Bung Moktar (dua dari kiri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (dua dari kanan) dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup (kiri) pada pelancaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Zon Timur (Kinabatangan-Sandakan-Beluran-Telupid) di Tapak Tamu Majlis Daerah Kinabatangan pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri diiringi Bung Moktar (dua dari kiri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (dua dari kanan) dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup (kiri) pada pelancaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Zon Timur (Kinabatangan-Sandakan-Beluran-Telupid) di Tapak Tamu Majlis Daerah Kinabatangan pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Masalah infrastruktur melibatkan jaringan jalan raya, bekalan elektrik serta air di Sabah perlu diselesaikan, sebelum Sabah dapat dibangunkan secara pesat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, untuk itu, satu program jangka panjang diperlukan bagi mengurus pembangunan infrastruktur berkenaan.

“Ketika ini masih ada kawasan tiada jalan raya, bekalan air dan elektrik, dan orang kampung sudah mula bangkitkan masalah mereka ini, dan kementerian saya bertanggungjawab dalam hal ini, kalau saya ada lampu Aladin, saya akan gilap lampu itu untuk menyelesaikan apa jua kesukaran rakyat.

“Ada kawasan saya lawat misalnya di Pitas, 60 kampung tiada paip air dan banyak lagi kampung yang hadapi masalah sama, jadi saya mohon Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) beri perhatian kepada masalah rakyat di Sabah,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur, di sini pada Sabtu.

Pelancaran itu yang berlangsung di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, turut memohon Perdana Menteri mempertimbangkan penggunaan mekanisme Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), agar projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dapat direalisasikan dalam tempoh jangka masa lebih pendek.

“Kementerian Kerja Raya Sabah kemuka kepada kerajaan Pusat agar melaksanakan PFI supaya projek Lebuh Raya Pan Borneo berjalan lancar, kalau tidak akan ambil masa 40 tahun untuk siap projek fasa satu ini,” katanya dan menambah projek itu membawa impak positif kepada rakyat.

Sementara itu, katanya, kerajaan Sabah tekad mengeluarkan Sabah daripada 'jenama' sebagai negeri termiskin di Malaysia, dalam tempoh lima tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Selama 58 tahun negeri ini merdeka bersama Malaysia, namun sehingga kini kadar kemiskinan Sabah masih tertinggi dan besar hasrat kerajaan untuk meninggalkan kategori itu,” katanya. - Bernama