Muslifah meninggal kerana radang paru-paru

Jenazah Muslifah selamat dikebumikan pada jam 1.30 petang Sabtu.
Jenazah Muslifah selamat dikebumikan pada jam 1.30 petang Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Bekas atlet menembak negara, Muslifah Zulkifli, 36, meninggal dunia akibat radang paru-paru selepas dijangkiti wabak Covid-19 sejak enam minggu lalu.

Allahyarhamah disahkan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2.30 pagi Sabtu di sebuah hospital swasta di sini ketika menerima rawatan.

Jenazah arwah Muslifah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, di sini kira-kira jam 1.30 petang, Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas atlet menembak meninggal dunia

Mengulas mengenai keadaan arwah, adik Muslifah, Mohamad Zulfizri, 31 berkata, kakaknya telah menetap di Pulau Pinang sejak tidak aktif lagi dalam sukan menembak.

Dia berkata, kakaknya itu disahkan positif Covid-19 sejak enam minggu lalu dan dirawat di sebuah hospital swasta di sini.

"Kakak sedang hamil enam bulan anak pertamanya setelah beberapa kali mengalami keguguran. Bagaimanapun bayinya disahkan meninggal dunia dalam kandungan ketika arwah sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta.

"Sejak arwah dimasukkan ke hospital, keadaan kesihatannya tidak menentu walaupun dia disahkan sembuh daripada Covid-19. Lebih menyedihkan, arwah sudah tidak memberi sebarang maklum balas pada minggu kedua selepas menerima rawatan," katanya ketika ditemui di kediaman di Jelutong di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zulfizri berkata, beberapa minggu lalu, keadaan kakaknya dilaporkan beransur baik selepas paras oksigennya mula stabil.

"Walaupun kesihatan kakak bertambah baik, doktor telah mengesahkan berlaku jangkitan kuman pada paru-paru kirinya. Doktor juga telah menjalankan pembedahan bagi membuang air di paru-parunya itu, namun paras oksigen terus menurun.

"Keadaan kakak tidak stabil sehingga jam 12.30 tengah malam Sabtu, pihak hospital menghubungi kami dan abang ipar (suami arwah), Mohd Syamin Saharuddin memberitahu kakak sudah kritikal.

"Kakak bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 pagi," katanya.

Mohd Zulfizri yang mewakili keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini mendoakan kesihatan arwah kakaknya selain memberi kata-kata semangat.

"Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu, mendoakan dan memberi kata-kata semangat sepanjang kakak dirawat.

"Tidak lupa terima kasih kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membantu mempermudahkan urusan pengkebumian kakak," katanya.

Untuk rekod, Allahyarham pernah meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheom, Korea Selatan dalam acara rifle 50 meter prone berpasukan Wanita (W) bersama dua lagi penembak negara ketika itu, Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim.

Allahyarhamah juga pernah mewakili negara pada Sukan Komanwel, Glasgow Scotland pada 2014 lalu dalam acara 50 meter (m) Rifle Prone Wanita (W) dan 50m Rifle (Tiga Posisi) pada temasya sukan berkenaan.

Selain itu, Allahyarhamah yang juga merupakan salah seorang atlet yang terlibat dalam Program Podium mulai 2015 hingga 2017 lalu.