'Henti operasi korek pasir di Pantai Tok Jembal'

Pantai Tok Jembal - Foto Sumber Internet
Pantai Tok Jembal - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan negeri disaran mempertimbangkan semula keputusan mengorek pasir di sekitar pesisir Pantai Tok Jembal yang terkenal dengan keindahan kawasannya bagi memastikan tindakan itu tidak menjejaskan sektor pelancongan, kata penggiat industri pelancongan.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak berkata beliau memahami bahawa tindakan mendalamkan laut itu bagi membolehkan nelayan mendaratkan ikan namun perlu juga diambil kira risiko pelancong dan penduduk tempatan yang mandi-manda di situ.

Beliau berkata pihaknya telah beberapa kali berbincang mengenai masalah tersebut namun masih tiada jalan penyelesaian terbaik.

"Orang ramai telah melahirkan kebimbangan mereka mengenai kerja-kerja mengorek pasir yang berjalan di Pantai Tok Jembal melalui perkongsian gambar di laman sosial kerana dikhuatiri akan melenyapkan keindahannya.

"Beberapa hari lepas kerja-kerja tersebut telah dilakukan dan dihentikan pada Ahad lalu tetapi kami bimbang ia akan berulang pada masa hadapan jika tiada tindakan segera diambil," katanya kepada Bernama di sini.

Tun Baharom berkata kerja-kerja mengorek pasir menjadikan kawasan tebing pantai lebih dalam dan mempercepatkan proses hakisan pada musim Monsun Timur Laut malah tinjauannya di sekitar lokasi tumpuan pengunjung, ‘Dapo Pata’, mendapati kawasan itu bagaikan semakin mengecil dan tidak selamat untuk mandi- manda.

Beliau yang sebolehnya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, berharap Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dapat mencari jalan penyelesaian terbaik dan segera mengadakan perbincangan.

Sementara itu, pengusaha ‘Dapo Pata’, Affendi Hamzah berkata kerja-kerja mengorek pasir pernah dilakukan beberapa kali sejak 2017 hingga menyebabkan hakisan pantai dan tidak mustahil ia berulang hingga menjejaskan peniaga di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

"Jarak antara laut dan pantai hanya sekitar 70 hingga ke 80 meter sahaja. Ini sahaja yang tinggal untuk orang ramai beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga. Jika pantai ini lenyap ia satu kerugian besar kepada orang ramai dan penduduk yang mencari rezeki di sini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Tok Jembal/ Kuala Nerus, Musa Mamat berkata projek mendalamkan muara tersebut telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus.

Justeru tidak timbul soal pencerobohan atau masalah kepada mana-mana pihak kerana ia dilakukan secara sah dengan kebenaran pihak berwajib.

"Saya harap semua faham yang masalah muara cetek ini telah menjejaskan kira-kira 80 nelayan di sini yang bergantung sepenuhnya kepada hasil menangkap ikan. Kerja-kerja tersebut perlu dilakukan segera bagi membolehkan bot nelayan keluar masuk dengan mudah," katanya.

Namun begitu, Musa berkata pihaknya terbuka untuk sebarang perbincangan sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati demi mencari jalan penyelesaian terbaik. - Bernama