Laksana segera gaji minimum penjawat awam RM1,800: Cuepacs

Adnan
Adnan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan dicadangkan supaya segera melaksanakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang baharu bagi menggantikan sistem sedia ada yang dilihat sudah tidak lagi relevan dan digunakan sejak 2002.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya mencadangkan gaji minimum ditetapkan pada kadar RM1,800 sebulan daripada kadar RM1,200 sebulan ketika ini.

Beliau memberitahu, jika cadangan tersebut direalisasi akan memberi manfaat kepada 1.6 juta penjawat awam memandangkan kos sara hidup ketika ini yang semakin meningkat.

"Justeru, sistem saraan yang baharu perlu diwujudkan untuk menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa setimpal dengan kos perbelanjaan harian. Gaji minimum perlu berubah setelah harga barangan meningkat berkali-kali sejak beberapa tahun lalu.

"Cadangan gaji minimum RM1,800 ini bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyasarkan negara berpendapatan tinggi dan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Kursus Kepimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil di sini pada Sabtu.

Katanya, jika kerajaan tidak mengubah kadar sedia ada, sasaran itu tak mungkin akan dapat dikecapi dengan gaji penjawat awam ketika ini.

Menurutnya, gaji permulaan sektor kerajaan RM1,200 sebulan pada masa ini tanpa mengambil kira elaun lain jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan aduan berkaitan penjawat awam yang tidak terima vaksin, beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung perkara tersebut.

"Penjawat awam harus divaksin dalam memberi keselesaan terhadap persekitaran tempat kerja yang selamat dan selesa," ujarnya.

Pihaknya bersetuju Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil tindakan terhadap kakitangan yang tidak mahu mengambil suntikan.

"Ketua JPA masing-masing disarankan memanggil mereka yang berkaitan. Jika didapati tidak boleh divaksin, dapatkan surat pengesahan daripada pengamal perubatan, namun jika enggan tanpa alasan munasabah, adakan perjumpaan seperti sesi kaunseling lanjutan," katanya.