Pendekatan berani BN ketengahkan calon baharu, muda: Ahmad Zahid

BN mengambil langkah berani dengan mengetengahkan lebih ramai calon baharu dan muda. - Foto Facebook Ahmad Zahid
BN mengambil langkah berani dengan mengetengahkan lebih ramai calon baharu dan muda. - Foto Facebook Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan 86 peratus muka baharu dengan kebanyakannya golongan muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah pendekatan baharu dan berani.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu diambil dalam memenuhi kriteria WALI (winnable, acceptable and likeable) iaitu boleh menang, boleh diterima dan disukai.

Malah katanya, kesemua parti komponen BN sebulat suara memutuskan untuk memilih 78 peratus calon yang berusia 50 tahun ke bawah manakala 82 peratus adalah berkelulusan akademik institusi pengajian tinggi (IPT).

"Tahniah kepada mereka yang terpilih menjadi calon PRN Melaka kali ini, semoga mereka memberikan kemenangan kepada UMNO/ BN.

"Saya terpanggil untuk mengulas isu mereka yang digugurkan atau tidak terpilih kali ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digugurkan sudah memberi khidmat cemerlang kepada parti selama dua dan tiga penggal atau lebih.

"Kepada mereka ini, parti mengucapkan ribuan terima kasih dan diharap membantu calon baharu. Inilah kesetiaan yang kita perlukan daripada semua.

"Pastikanlah parti beroleh kejayaan dan kembali menerajui negeri ini. Kepada mereka yang tidak dicalonkan, insya-ALLAH mereka akan dipertimbangkan pada masa depan atau bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum nanti," katanya dalam coretan di Facebooknya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, apa yang lebih utama ialah memenangkan parti yang menaungi semua selama ini.

Artikel Berkaitan:

"ADUN adalah milik rakyat di kawasan masing-masing. Parti sudah membuat penilaian terperinci sebelum mereka dipilih," ujarnya.