PRK Rantau: Siapa calon pilihan PH?

A
A

SEREMBAN - Tarikh PRK DUN Rantau sudah pun diumumkan, sehingga kini masih belum ada tanda-tanda siapa yang bakal menjadi calon PH.

Pelbagai spekulasi muncul, menceritakan perihal calon, daripada lebih 10 nama yang diterima, kini tiba masanya PH menilai dan menimbangkan sebaik mungkin agar percaturan yang dibuat tidak membinasakan diri kemudian hari.

Namun, adakah PH sudah benar-benar bersedia menentang ‘gergasi’ di DUN Rantau itu.

Sebagai parti yang dianggap ‘underdog’, adakah PH sudah menyiapkan calon yang sesuai dan diterima rakyat untuk menghadapi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan nanti.

Sehingga kini, isu siapa calon yang bakal dipertaruhkan PH masih lagi menjadi tanda tanya, memandangkan ada ramai yang menyatakan minat untuk menjadi calon, tetapi akhirnya hanya seorang sahaja yang akan dipilih, siapakah yang jadi pilihan?

Seperti semua maklum, bekas calon PRU14 DUN Rantau, Dr Streram telah bertungkus-lumus dan bekerja keras memfailkan petisyen pilihan raya, sehingga akhirnya mahkamah memutuskan kemenangan Tok Mat tidak sah, dan PRK DUN Rantau perlu dilaksanakan.

Adakah segala usaha yang dilakukan selama sembilan bulan itu dan berhabis duit untuk prosiding mahkamah yang mencecah RM95,000 itu berbaloi?

Jika pakar bius itu dicalonkan semula ia dianggap satu bonus buat dirinya.

Kini, tersebar pula tiga nama calon PKR yang telah disenarai pendekkan, dan bersedia untuk dinilai oleh pucuk pimpinan.

Daripada tiga nama itu, nama Streram turut disenaraikan bersama dua yang lain iaitu Naib Ketua PKR Cabang Rembau, Datuk Hanif Hasan dan seorang lagi anak tempatan, Datuk Iskandar Saharuddin.

PH pilih calon Melayu?

Adakah PH akan mempertaruhkan calon Melayu di Rantau, sekali gus menyingkirkan Streram yang telah bekerja keras di situ sejak tiga tahun lalu.

Nama Hanif yang juga merupakan seorang peguam bela sudah cukup dikenali ramai, malah rekod dalam parti, beliau merupakan bekas Ketua AMK Bahagian Teluk Kemang yang pertama dan juga sangat aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan perundangan negara.

Persoalannya, siapa pula Iskandar Saharuddin ini? Namanya dikatakan muncul secara tiba-tiba, malah turut berada dalam senarai pendek.

Difahamkan beliau merupakan bekas Duta Malaysia ke China yang berasal dari Rantau, tetapi bukan seorang ahli politik malah orang Rantau sendiri tidak mengenalinya, namun disebabkan beliau adalah anak jati Rantau, adakah itu memberi kredit kepadanya, sekali gus diyakini dapat memenangkan PH.

Hangat diperkatakan bahawa pencalonan Iskandar itu bagi membantu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam urusan pentadbiran, memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang korporat.Tawan hati pengundi

Pelbagai spekulasi mengenai calon PH untuk PRK Rantau ini, selagi tidak diumumkan, selagi itu macam-macam spekulasi timbul.

Namun, siapa pun mereka itu tidak penting, kerana yang paling utama mampukah mereka menawan hati pengundi di situ.

Lagi lama ditangguhkan, lagi banyak spekulasi dan polemik akan berlaku, PH dinasihatkan jangan mengambil masa terlalu lama untuk memilih calon mereka, kelak nanti memakan diri.

Buat parti pembangkang, sudah pastinya tidak mempunyai masalah dan tidak perlu berebut-rebut, memandangkan kerusi itu telah ditetapkan untuk Tok Mat, malah Pas juga menyatakan hasrat memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding.

Jentera sudah disiapkan, rancangan sudah diatur, gabungan Pas dan UMNO juga sudah pasti akan memberi semangat baharu untuk mereka terus mengekalkan kerusi di DUN Rantau.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia