Dua individu ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

Gambar hiasan (Gambar kecil: Chang Hook)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Chang Hook)
A
A
A

JEMPOL - Seorang pesara tentera dan pekerja farmasi mengalami kerugian masing-masing RM6,000 dan RM2,589 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud, dalam kejadian yang dilaporkan pada 3 dan 4 November lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 39 tahun yang merupakan pesara tentera mengalami kerugian RM6,000 selepas tertarik dengan satu pinjaman peribadi dari laman sosial Facebook.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi seorang wanita dikenali Jenifer Wong untuk membuat pinjaman berjumlah RM20,000.

"Mangsa kemudian diarahkan memasukkan sejumlah wang bagi urusan pinjaman dan membuat sebanyak enam kali pembayaran secara dalam talian pada 3 dan 4 November.

"Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas dia diminta membuat pembayaran sekali lagi sebanyak RM2,000 bagi membuka akaun pinjaman berkenaan.

"Semakan polis mendapati akaun bank yang digunakan oleh suspek sudah mempunyai rekod penipuan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian berasingan, Chang Hook berkata, seorang wanita yang juga pekerja farmasi berusia 30 tahun, turut menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud selepas berurusan dengan syarikat dari Klang, Selangor yang ditemui di enjin carian Google.

Katanya, mangsa yang berminat untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM5,000 itu kemudiannya berhubung dengan seorang wanita, sebelum diarahkan membuat pembayaran bagi memproses pinjaman.

Artikel Berkaitan:

"Pada 4 November, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam dua akaun bank berjumlah RM2,589.

"Dia kemudiannya diminta untuk memasukkan lagi RM1,800, namun tidak diendahkan mangsa yang menyedari sudah ditipu," katanya.

Tambahnya, kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan Batu Kikir bagi tindakan lanjut.

Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai boleh melayari laman web https://ccid.rmp.gov.my/semak mule, bagi menyemak nombor akaun bank atau nombor telefon scammer secara dalam talian.