Pas perlu jadi penentu PRU15: Abdul Hadi

Abdul Hadi menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort di Kuala Terengganu pada Sabtu.
Abdul Hadi menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort di Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas perlu berusaha sekurang-kurangnya menjadi penentu dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berasaskan jumlah kerusi yang menang dan bukan bilangan kerusi ditandinginya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia sebagai jaminan paling kuat bagi parti tersebut menegakkan konsep kepimpinan Islam yang berprinsip.

“Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama’ dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar serta strategi bagi menghadapi PRU15.

“Ia termasuk segala kemungkinan selepas pilihan raya demi memastikan Islam terus memimpin,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort di sini pada Sabtu.

Muktamar Pas ke-67 disertai seramai 1,546 perwakilan dengan 694 daripadanya mengikuti secara langsung dari Duyong Marina & Resort di Kuala Nerus, manakala baki seramai 852 orang mengikutinya dari negeri masing-masing.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, kemunculan Muafakat Nasional (MN) yang pada mulanya hanya dianggotai Pas dan UMNO, kemudian menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi asas permulaan kepada konsep Islam memimpin dan perpaduan ummah lebih kukuh.

“Seterusnya, ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan lebih majmuk iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.

“Gabungan ini menerima asas perlembagaan Persekutuan dan terbuka penyertaannya kepada semua parti yang tidak menyeleweng daripada perlembagaan. Inilah acuan perpaduan nasional yang kita ingin perkenalkan kepada semua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Abdul Hadi mengulangi pendirian bahawa Pas menolak sebarang usaha untuk membentuk penjajaran baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, MN baru sahaja ditubuhkan mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut piagam yang terbuka dan bukan tertutup.

“Kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat sehingga berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan, menanam benih yang baru tumbuh dengan subur. Maka, sebarang cadangan lain bagi melaksanakan tumbuhan liar mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan.

“Pas jangan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup, atau dalam lingkungan sekadar menjadi penumpang perjalanan politik tanah air. Sebaliknya, menjadi pemimpin bersama rakan-rakan sehingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamatkan negara bersama Islam yang telah diperkenalkan oleh Pas,” katanya.