MSN rancang kemukakan cadangan kepada WPA

Muhammad Ziyad (kiri) dan Mohd Faizol.
Muhammad Ziyad (kiri) dan Mohd Faizol.
A
A
A

PIHAK Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) merancang untuk mengemukakan pendapat dan beberapa cadangan penambahbaikan kepada pihak Olahraga Para Dunia (WPA) bagi memastikan insiden melibatkan atlet para negara, Muhammad Ziyad Zokefli dalam acara Lontar Peluru (F20) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu, tidak berulang pada masa hadapan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan berhubung perancangan berkenaan dengan pihak Persatuan Olahraga Kebangsaan (KOM), bagi mengemukakan cadangan berkenaan.

“Antara perkara yang akan dibangkitkan nanti adalah perlunya pihak WPA menyediakan sistem pengawasan yang lebih kemas termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di bilik panggilan atlet (atheles call room) dan merekodkan setiap kali atlet hadir membuat pendaftaran.

“Selain itu, pihak WPA juga diminta untuk memberikan penjelasan mengenai peraturan Did Not Start (DNS) bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sebagaimana dialami oleh Muhammad Ziyad.

“Jika atlet gagal mendaftar pada waktu yang ditetapkan, atlet berkenaan tidak harus sama sekali dibenarkan bertanding demi mengelakkan kekecewaan seperti yang berlaku kepada Muhammad Ziyad,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.

Pada Paralimpik Tokyo 2020 lalu, Muhammad Ziyad meraih emas selain mencatatkan rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang sama sekali turut memecahkan rekodnya sendiri yang dicatatkannya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia London 2017 lalu dengan catatan 17.29 m yang sebelum itu meleburkan rekod yang dicatatkannya pada Paralimpik Rio 2016 dengan lontaran sejauh 16.84m.

Bagaimanapun, kemenangan atlet berusia 31 tahun itu dibatalkan selepas protes dilakukan oleh atlet Ukraine membabitkan isu teknikal, dengan mendakwa Muhammad Ziyad lewat tiba di call room sebelum beraksi dalam acara berkenaan.

Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengarahkan pihak MSN membentuk jawatankuasa siasatan dan bekerjasama dengan pihak Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi menyiasat insiden berkenaan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, pihak jawatankuasa itu merumuskan bahawa Muhammad Ziyad dilaporkan terbukti lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaannya dalam acara final lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan dan laporan berhubung perkara berkenaan telah pun diserahkan kepada Ahmad Faizal.

Sementara itu, Ahmad Shapawi menegaskan MSN menyambut baik dengan sifat keterbukaan Muhammad Ziyad serta jurulatihnya, Mohd Faizol Harun yang mengakui bertanggungjawab atas insiden berkenaan.

“Kita amat menyanjung tinggi kebertanggungjawaban Faizul dan Ziyad atas insiden yang berlaku kepada mereka berdua.

“Namun, dalam masa yang sama, MSN juga akan sentiasa memberikan peringatan kepada pengurusan pasukan dan jurulatih serta atlet supaya memberikan perhatian kepada tarikh dan tempoh masa pendaftaran sama ada sebelum sesuatu kejohanan mahupun semasa kejohanan berlangsung,” katanya.