Jalan Persekutuan nadi Pantai Timur

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Apabila merancang menuju ke Pahang, Kelantan mahupun Terengganu di pantai timur, perkara pertama yang pasti akan terlintas di fikiran ramai rakyat Malaysia adalah sajian popular di negeri berkenaan.

Jika disenaraikan tempat-tempat makan yang tular di media sosial di ketiga-tiga negeri itu, semestinya tidak terkira bilangannya.

Untuk tidak terlepas setiap lokasi menarik dan tempat makan yang menawarkan sajian enak, pilihan terbaik adalah dengan menyusuri jalan lama atau jalan persekutuan.

Sememangnya ia mengambil masa untuk mengikuti laluan yang lebih panjang berbanding melalui lebuh raya tetapi tiada salahnya mencipta memori dengan menyusuri kampung, pekan, mukim dan daerah di ketiga-tiga negeri itu.

Mengagumi pemandangan serba hijau, alam semulajadi atau menyusuri jalan pantai membiru di Terengganu pasti mencipta detik indah sepertimana slogan yang dibawa dalam Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya - ‘mencipta detik indah bersama’.

Program Jelajah FTRoadpedia ke Zon Pantai Timur 2.0 itu cuba memberi nafas dan perspektif baharu kepada jalan Persekutuan dengan mendekati keistimewaan yang terdapat di tiga negeri berkenaan.

Program jelajah tiga hari itu, yang diketuai Menteri Kerja Raya, Baru Bian, dan disertai para pegawai kanan kementerian serta wakil media, meninjau dan melihat lebih dekat jalan-jalan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

LALUAN DARAT

Artikel Berkaitan:

Jalan-jalan Persekutuan yang menjadi penghubung antara negeri-negeri sering dianggap sebagai jalan alternatif menyebabkan peranannya sebagai jalan utama semakin terpinggir selepas adanya lebuh raya.

Lazimnya, selain penduduk setempat, hanya kenderaan perdagangan yang sering menggunakan jalan Persekutuan yang berjumlah 17,771.42 kilometer (km) di seluruh negara.

Namun, jalan Persekutuan masih menjadi nadi utama mereka yang mahu ke pantai timur terutama penduduk Kelantan. Ini boleh dilihat semasa cuti musim perayaan apabila kenderaan padat dan sesak memenuhi laluan jalan-jalan Persekutuan sehingga mengambil masa lebih daripada 12 jam untuk tiba di Kota Bharu.

Perjalanan santai menyusuri jalan persekutuan dengan kelajuan maksimum 90 km sejam, bermula dari Kompleks KKR dengan melalui Bentong, Raub, Lipis di Pahang diikuti Gua Musang, Kuala Krai, Machang sebelum bermalam di Kota Bharu di Kelantan.

Keesokannya, perjalanan diteruskan dengan melalui perkampungan nelayan di pesisir pantai menuju ke Penarik, Terengganu sebelum ke Lebuhraya Pantai Timur 2 untuk pulang ke Kompleks Kementerian Kerja Raya dengan jarak perjalanan sepanjang FTRoadpedia kali ini merangkumi 533 km.

BANGUNKAN EKONOMI

Bukan sekadar laluan perhubungan, jalan Persekutuan turut membantu ekonomi penduduk setempat terutamanya di kawasan berdekatan dengan bandar atau pekan.

Kedai Lemang To'Ki di Bentong adalah antara yang mendapat manfaat daripada kesibukan jalan persekutuan.

Terletak di Jalan Trans, kedai makan yang mengangkat lemang asli sebagai menu utama menjadi tumpuan ramai terutamanya pada hujung minggu.

Bukan sahaja mereka yang memandu kereta dan lori, Lemang To'ki turut menjadi medan persinggahan kumpulan bermotosikal yang mahu ‘mengasah tayar’ pada hujung minggu.

Menyusuri jalan ke Raub pula, kelihatan banyak gerai buah-buahan di kiri dan kanan jalan terutama hasil tempatan seperti nangka madu yang banyak ditanam di Felda Mempaga dan Lembah Bilut.

Raja buah - durian Musang King - sememangnya hasil jati bumi Raub malah kini berjaya menembusi pasaran luar negara.

Kesuburan tanahnya dan iklim yang sesuai membolehkan Musang King Raub, yang menawarkan isi tebal dan biji nipis, antara durian terbaik di Malaysia.

Memasuki daerah Kuala Lipis menuju ke Gua Musang dengan melalui jalan FT8 ternyata mengujakan kerana ia merupakan pegalaman pertama penulis menyertai jelajah FTRoadpedia melalui jalan projek Centre Spine Road (CSR) yang kini dalam pembinaan.

Projek sepanjang 351 km dari Kuala Krai, Kelantan hingga ke Simpang Pelangai, Bentong di Pahang kini sudah hampir 20 peratus siap yang meliputi enam pakej pembangunan.

Sebahagian jalan dari Kuala Lipis ke Gua Musang telah siap dinaik taraf kepada empat lorong dua hala untuk memberi keselesaan kepada pengguna.

Walaupun masih di peringkat awal pembangunan namun, kesannya dapat dirasai terutama apabila rombongan kami singgah di pekan Gua Musang.

Pekan kecil yang sebelum ini suram, dilihat semakin meriah dengan bangunan kedai-kedai baharu yang dibuka bagi merancakkan ekonomi di situ.

MENYUSURI PESISIR PANTAI

Perjalanan melalui Kota Bharu ke Kuala Terengganu keesokannya lebih mengujakan kerana penjelajahan FTRoadpedia menyusuri pula laluan di pesisir pantai.

Merentasi daerah Besut, yang merupakan sempadan antara Kelantan dan Terengganu, perjalanan diteruskan menuju Pantai Penarik di Setiu.

Cuaca panas terik tidak menghalang kami menikmati pemandangan laut yang membiru sepanjang laluan tersebut, menjadikan ia satu tarikan di jalan persekutuan ke pantai timur.

Melalui perkampungan nelayan sudah tentu aktiviti perniagaan utama di sini melibatkan hasil laut seperti restoran makanan laut.

Seorang pengusaha restoran di Pantai Penarik, Mohd Jamil Ismail, 34, mengakui kesibukan jalan Persekutuan di pesisir pantai itu memberi limpahan rezeki kepada beliau.

Restoran Ombak Pantai miliknya, yang dibuka sejak tiga tahun lalu, menerima kunjungan pelanggan tempatan dan luar terutama pada hujung minggu serta cuti perayaan dan cuti sekolah.

Menyediakan menu celup tepung seperti ikan, udang dan sotong, Mohd Jamil berkata keadaan jalan yang lurus dengan pemandangan tepi pantai menyebabkan ramai yang memilih jalan dalam untuk ke Kelantan atau ke Kuala Terengganu.

"Memang sibuk jalan di sini terutama hujung minggu atau cuti perayaan. Sepanjang Pantai Penarik, banyak kedai menjual makanan celup tepung yang menjadi tarikan orang ramai ke sini.

"Biasanya 70 peratus yang singgah di sini adalah pengunjung dari Kelantan dan orang luar manakala 30 peratus orang tempatan sekitar Terengganu," katanya.

SIBUK DI HUJUNG MINGGU

Memperkenalkan konsep santai di tepian pantai, restorannya menjadi pilihan pengunjung kerana kecantikan dekorasinya yang banyak menggunakan kayu dan atap nipah.

Mohd Jamil berkata isterinya, Noorfatieha Abdul Rahim, 30, banyak membantu memberikan idea terutama untuk mencantikkan lagi suasana di tepi pantai yang boleh dinikmati pelanggan yang datang.

"Dengan adanya media sosial, memang mudah untuk mempromosikan keunikan restoran kami.

"Pada cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini, kami menerima jumlah pelanggan yang cukup memberangsangkan. Selain mahu menikmati makanan laut yang segar, mereka juga ingin merasai suasana tepi pantai di sini," katanya yang berharap jalan ke Pantai Penarik dapat diperbesarkan bagi mengelak kesesakan.

Pantai Penarik semakin dikenali sejak tiga tahun kebelakangan ini terutama bagi pelancong yang ingin ke pulau-pulau terkenal di Terengganu seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

"Kami berharap kerajaan akan melihat Pantai Penarik sebagai satu kawasan berpotensi untuk dibangunkan dengan lebih maju lagi selepas ini," katanya. - Bernama