Pencalonan Sulaiman sebagai Ketua Menteri janjikan kestabilan politik

Hantaran Shahril Sufian menerusi Facebook pada Sabtu.
Hantaran Shahril Sufian menerusi Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Barisan Nasional (BN) mencalonkan semula Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjanjikan kestabilan politik di negeri tersebut.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ia turut membantu mencapai kestabilan yang merupakan tema utama BN dalam kempen PRN kali ini, serta keputusan untuk memastikan semua calon menandatangani akuan bersumpah supaya tidak melompat parti.

“Kedua-dua ini menjanjikan kestabilan sebagai satu tema utama dalam kempen BN untuk PRN Melaka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.

Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu mengumumkan Sulaiman akan dicalonkan semula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu pada PRN Melaka pada 20 November ini.

Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, BN membuat keputusan untuk bergerak secara solo dalam PRN Melaka dengan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN dan turut menampilkan sebanyak 86 peratus muka baharu.

Sementara itu, Shahril berkata, keberanian kepimpinan BN untuk membariskan beberapa wakil generasi muda merupakan petanda bahawa pembaharuan politik terus berlangsung dalam gabungan tersebut.

“Dalam kalangan calon muda ini ialah individu yang berkaliber dan bertenaga menawarkan imej segar dan ikrar khidmat bakti kepada rakyat.

“Bersama calon-calon yang lebih berpengalaman, mereka mewujudkan suatu barisan yang mengisi pelbagai julat umur mewakili perspektif generasi masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Inilah keunikan tawaran BN kali ini, di samping selaras dengan konsep setiakawan dalam BN dan semangat #KeluargaMalaysia, lapan kerusi juga dikongsi bersama parti komponen,” ujar beliau.