Kes baharu Covid-19 turun lagi kepada 4,701

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes baharu Covid-19 di negara ini terus merekodkan penurunan iaitu 4,701 kes pada Sabtu berbanding 4,922 pada Jumaat menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,501,966.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes sembuh hari ini mencatatkan 5,382 kes menjadikan kumulatif kes sembuh Covid-19 sebanyak 2,407,205 sehingga 12 tengah hari, Sabtu.

“Daripada 4,701 kes harian yang dilaporkan hari ini (Sabtu), 88 kes atau 1.9 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,613 kes atau 98.1 peratus lagi melibatkan kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 4,673 adalah kes tempatan membabitkan 4,505 warga tempatan dan 168 bukan warganegara manakala baki 28 kes adalah kes import melibatkan 20 warga tempatan dan lapan bukan warganegara.

Dr Noor Hisham memaklumkan kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi adalah 544 kes dengan 280 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak tiga kluster baharu dikenal pasti hari ini membabitkan tempat kerja di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata, negara kini merekodkan nilai 0.92 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.06 dan nilai sifar direkodkan di Labuan.

Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. - Bernama

Artikel Berkaitan: