PRN Melaka: Wakil BN akan diheret ke mahkamah jika lompat parti

 Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media pengunguman calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.- Foto Bernama
Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media pengunguman calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan mengambil tindakan tegas dengan mengheret mana-mana wakil calonnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang melompat parti.

Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua calon terikat dengan surat akuan bersumpah (SD) serta perjanjian lain selepas watikah diserahkan kepada calon.

"Mereka yang melompat parti akan dikenakan tindakan undang-undang sesuai dengan terma-terma perjanjian yang telah ditandatangani.

"Mereka juga akan dikenakan saman dengan jumlah tertentu mengikut keputusan mahkamah. Tindakan ini bagi memastikan ia selaras dengan tema kita iaitu Kestabilan Demi Kemakmuran kerana calon-calon ini mewakili BN.

"Ada dua atau tiga perjanjian yang mereka kena tandatangani meliputi segala aspek undang-undang. Jadi, saya berharap komitmen yang tidak berbelah daripada mereka (calon)," katanya pada sidang akhbar di Auditorium UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Turut hadir ialah Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Negeri (ADUN) mewakili kerajaan negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) yang juga bekas Ketua Menteri, Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sulaiman menerima sokongan daripada 17 ADUN membabitkan 14 daripada UMNO, selain Bersatu (dua) dan Bebas (satu), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 11 daripada 28 kerusi dalam sidang DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka ialah pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.