Ismail Sabri lancar Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur

Ismail Sabri ketika hadir pada majlis pelancaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Zon Timur di Majlis Daerah Kinabatangan pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika hadir pada majlis pelancaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Zon Timur di Majlis Daerah Kinabatangan pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur jajaran Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid.

Perdana Menteri berkata, projek itu melibatkan tiga pakej iaitu pakej 28, 29 dan 30, sepanjang 58 kilometer dengan kos pembinaan RM877 juta.

Beliau berkata, skop projek itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala, pembinaan tiga jambatan baharu, dan satu persimpangan bertingkat.

“Apabila siap kelak, laluan ini akan menyediakan akses perhubungan darat yang selesa, cekap dan selamat kepada penduduk,” katanya ketika berucap melancarkan Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Ismail Sabri berkata, pembinaan bagi projek itu telah bermula bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada bulan Oktober 2024.

Katanya, laluan tersebut juga akan mempermudahkan urusan logistik dan pasaran hasil pertanian di Telupid, dan mampu merancakkan aktiviti pelancongan di sekitar Sandakan.

“Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien, buat Keluarga Malaysia di sini.

Artikel Berkaitan:

“Ia sekali gus memastikan pembangunan sosioekonomi yang lebih baik dan dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini, selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan,” katanya.

Prihatin terhadap masalah capaian internet di luar bandar di Sabah, Perdana Menteri berkata, di bawah program Jalinan Digital Negara (Jendela), kerajaan telah memperuntukkan RM3.5 bilion untuk membangunkan 534 menara telekomunikasi di Sabah.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memberi jaminan projek Jendela itu dijadual siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, terdapat 105 projek baharu dengan kos RM1.9 bilion akan dilaksanakan di Sabah, antaranya menaik taraf jalan, projek bekalan elektrik dan air bersih.

Beliau turut meluluskan pembinaan bangunan baharu Dewan Serbaguna Kota Kinabatangan dengan peruntukan RM6 juta, Pasar Awam Kota Kinabatangan (RM3 juta) dan pusat pelupusan sampah di Kinabatangan (RM3 juta).

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis itu, Perdana Menteri berkata, Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) merupakan antara kaedah sedang dikaji bagi mempercepat pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

“Terdapat kelewatan pelaksanaan (projek) apabila kerajaan terdahulu membatalkan konsep PDP (Rakan Pelaksana Projek), justeru pada masa ini kita mesti cari jalan untuk pastikan projek ini dilaksana cepat untuk rakyat, antaranya PFI ini yang sedang dikaji dan dibincangkan,” katanya. - Bernama