Tangani anak muda fobia politik: Abdul Hadi

Abdul Hadi ketika hadir menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu pada Sabtu.
Abdul Hadi ketika hadir menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas perlu menangani masalah golongan anak muda yang fobia dengan politik sehingga tidak mengambil peduli terhadap apa yang berlaku kepada negara atau memisahkan politik daripada agama.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, situasi itu boleh mengundang anasir luar menyusup masuk dalam pemikiran generasi muda.

“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pas perlu melihat dengan serius perkembangan anak muda yang akan diberikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin negara.

“Berdasarkan keputusan PRU14, kita melihat anak muda mudah terpengaruh dengan janji palsu dan fitnah yang tersebar dalam media sosial tanpa membuat pertimbangan yang adil dan matang terlebih dahulu.

“Segala bahan fitnah dan janji palsu yang dikongsikan mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga mengakibatkan keputusan PRU14 mengancam kedaulatan Islam serta menggugat keharmonian kaum di Malaysia,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort di sini pada Sabtu.

Muktamar Pas ke-67 disertai seramai 1,546 perwakilan dengan 694 daripadanya mengikuti secara langsung dari Duyong Marina & Resort di Kuala Nerus, manakala baki seramai 852 orang mengikutinya dari negeri masing-masing.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pendekatan politik Pas adalah bertunjangkan politik Islam termasuk penerapan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Politik Islam berasaskan keimanan kepada ALLAH dan hari akhirat sehingga menjadikan orang beriman yang berpolitik ada perhitungan dosa dan pahala, di samping berusaha untuk menimbulkan kesedaran dan partisipasi politik kepada rakyat ke arah perubahan negara yang lebih baik,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Abd Hadi berkata, kepimpinan Pas termasuk Dewan Pemuda Pas, Dewan Muslimat Pas, Dewan Ulamak Pas, Jabatan Penerangan Pas dan Jabatan Pilihan Raya telah diberi tanggungjawab penting bagi menggerakkan pendidikan politik kepada pengundi muda.

Beliau berkata, usaha itu penting supaya golongan muda diberikan maklumat yang betul dan kesedaran dalam membuat pertimbangan bijaksana berpandukan penghayatan kepada budaya politik matang dan sejahtera.

“Mendepani cabaran ini, setiap pimpinan dan ahli perlu berperanan sebagai 'Ejen Penerangan Parti' secara tersusun supaya mesej yang dibawa oleh Pas berjaya menembusi kelompok sasaran.

“Ia dengan memanfaatkan media sosial dan teknologi maklumat yang semakin canggih melalui pendekatan kreatif, berhikmah dan boleh diterima segenap lapisan masyarakat,” kata beliau.