Dua beranak penagih dadah dicekup

Bapa dan anak yang dipercayai menghisap dadah ditahan pada tengah malam Jumaat dan dibawa ke IPD Petaling Jaya.
Bapa dan anak yang dipercayai menghisap dadah ditahan pada tengah malam Jumaat dan dibawa ke IPD Petaling Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Ibarat 'bapa borek, anak rintik', seorang penagih dadah ditahan bersama anaknya dalam serbuan Op Jihad Dadah ke atas sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini tengah malam Jumaat.

Dalam serbuan sekitar jam 12 tengah malam itu, lelaki berusia 38 tahun berkenaan dipercayai sempat membuang serbuk disyaki dadah.

Lelaki tersebut meronta-ronta dan meraung semasa hendak ditahan anggota serbuan memaksa isterinya yang turut berada di dalam rumah membuat keputusan untuk pergi ke balai supaya suaminya memberi kerjasama kepada pihak polis.

Difahamkan, lelaki terbabit dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun itu pernah ditahan di kediaman tersebut sebelum ini atas kesalahan sama malah kes berkenaan masih di peringkat perbicaraan di mahkamah namun kedua-dua mereka masih tidak serik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhruddin Abdul Hamid berkata, Op Jihad Dadah merupakan yang pertama kali seumpamanya diadakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Lelaki berusia 38 tahun berkenaan meronta-ronta kerana enggan ditahan dalam serbuan Op Jihad Dadah ke atas sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Petaling Jaya, tengah malam Jumaat.
Lelaki berusia 38 tahun berkenaan meronta-ronta kerana enggan ditahan dalam serbuan Op Jihad Dadah ke atas sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Petaling Jaya, tengah malam Jumaat.

"Jihad dadah ini bertujuan menangkap pengedar dan penagih dadah yang bergiat aktif di dalam daerah Petaling Jaya dan menyekat kemunculan penagih baharu serta memberi pendidikan dan kesedaran kepada kumpulan sasaran.

"Kawasan Lembah Subang dipilih kerana terdapat banyak aduan yang diterima berkaitan dengan masalah penagihan dadah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Petaling Jaya, malam Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fakhruddin memberitahu, pihaknya berjaya merampas syabu (81.03 gram), heroin (21.07 gram), ganja (0.30 gram) dan air ketum (10 liter) di Lembah Subang sejak Januari hingga Oktober 2021.

Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya turut mencatatkan sebanyak 59 tangkapan melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam tempoh sama di sini.

Op Jihad Dadah itu melibatkan 123 orang pegawai kanan dan anggota polis dari bahagian dan cawangan serta balai-balai di bawah Petaling Jaya.

Operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melibatkan anggota dari kedua-dua agensi.