X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

PRN Melaka: Ab Rauf, Dira antara calon muka baharu BN

Gambar dari kiri: Ab Rauf, Khaidhirah Abu Zahar
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira merupakan antara muka baharu yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Ab Rauf akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, manakala Dira di DUN Rim.

Pengumuman itu dibuat Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang akhbar yang berlangsung di Auditorium UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, hanya empat penyandang yang dikekalkan iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (Lendu), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Zaidi Attan (Serkam) dan Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek).

Selain itu, beliau berkata, antara calon muda yang diketengahkan ialah Leong Hui Ying (Kesidang), Fairul Nizam Roslan (Asahan), Datuk Rais Yasin (Paya Rumput) dan Dr Muhamad Akmal Saleh (Merlimau).

"Calon-calon baharu lain yang kita tampilkan ialah Rosli Abdullah (Kuala Linggi), Hameed Mytheen Kunju Basheer (Ayer Limau), Zulkiflee Mohd Zin (Taboh Naning), P Shanmugam V Ptcyhay (Gadek) dan Ngwe Hee Sem (Machap Jaya).

"Selain itu, Zahari Abd Kalil (Durian Tunggal), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Sungai Udang), Tuminah Kadi @ Mohd Hasim (Pantai Kundor), Datuk Lim Ban Hong (Klebang), Datuk Kalsom Nordin (Pengkalan Batu), Yong Fun Juan (Ayer Keroh), Datuk Hasnoor Sdg Husin (Bukit Katil) dan Benjamin Low Chin Hong (Kota Laksamana).

"Turut tercalon ialah Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Lee Kah Sean (Bandar Hilir), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas), Datuk Koh Chin Han (Bemban) dan Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai)," katanya.

Mohamad menjelaskan, sebanyak 28 peratus calon yang ditampilkan BN dalam PRN Melaka berusia 45 tahun dan ke bawah.

"Lima orang calon adalah wanita, iaitu empat daripadanya daripada UMNO dan seorang MCA," jelas beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!