Kerajaan wajar galak warga tempatan kerja di luar negara

Dr Barjoyai Bardai (kiri) dan Dr Nungsari Ahmad Radhi
Dr Barjoyai Bardai (kiri) dan Dr Nungsari Ahmad Radhi
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpendapat kerajaan wajar menggalakkan rakyat tempatan khususnya graduan bekerja di luar negara kerana ia menyumbang kepada aliran wang masuk sekali gus meningkatkan tahap produktiviti pekerja.

Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, lebih 700,000 graduan menganggur ketika ini dan mereka sepatutnya diberi peluang untuk bekerja di luar negara dengan menyediakan skim khusus.

“Kalau mereka bekerja di luar negara, mereka bukan bekerja sebagai buruh kasar, sebaliknya bekerja dalam bidang profesional kerana mempunyai kelayakan tertentu.

“Jadi, selain mendapat pengalaman baharu, ia turut menyumbang kepada aliran wang masuk ke dalam negara kerana mereka akan menghantar wang kepada keluarga mereka di sini,” katanya.

Seorang lagi pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi pula berpendapat, amat wajar jika rakyat tempatan memilih untuk bekerja di luar negara kerana gaji yang ditawarkan tinggi.

“Dari sudut individu, sepatutnya mencari upah terbaik yang boleh diperolehi berdasarkan kemahiran dan pengalamannya walaupun di luar negara.

“Tambahan pula, Ringgit Malaysia (RM) agak lemah. Itu sebab upah yang dibayar dalam mata wang asing seperti Australia atau Singapura adalah tinggi dalam RM,” katanya.

Walaupun beliau mengakui ia akan merugikan negara, namun dari sudut kesejahteraan dan kebajikan rakyat, ia tidak ada masalah jika peroleh pendapatan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya lihat dalam Bajet 2022, kerajaan telah mengenakan cukai kepada rakyat yang peroleh pendapatan di luar negara. Jadi ok lah,” ujarnya.