X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Cari pengalaman, gaji tinggi jadi faktor utama

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Selain gaji yang lumayan, menimba pengalaman yang lebih baik menjadi faktor utama mengapa kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk bekerja di luar negara.

Bagi Jurutera Penyelidikan dan Pembangunan di Unipress Fuji, Jepun, Mohamad Afif Mohd Noor, 26, dia memilih untuk bekerja di luar negara kerana inginkan pengalaman di samping mempraktikkan ilmu yang dipelajarinya sewaktu belajar di negara berkenaan empat tahun lalu.

Mohamad Afif turut mengakui tawaran gaji sebagai jurutera lebih besar berbanding di Malaysia.

“Gaji yang ditawarkan adalah setimpal dan bonus yang tinggi pada setiap tahun mampu menanggung kehidupan harian dengan tenang.

“Selain mahukan gaji yang lebih baik, saya juga mahu mendalami budaya masyarakat Jepun, malah merasai bagaimana hidup di sebuah negara yang selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut senada dengan Mohamad Afif, Pegawai Komunikasi di Istanbul, Turkey, Yassir Roslan, 28, yang mana tawaran gaji merupakan sebab utama dia memilih untuk bekerja di negara tersebut.

Menurutnya, gaji yang diterima oleh pekerja sektor profesional sangat berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia terutama bagi graduan tanpa pengalaman, agak sukar mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang setimpal di Malaysia.

“Justeru, saya merancang untuk menetap di sini untuk tempoh beberapa tahun lagi supaya dapat menimba lebih banyak pengalaman, memenuhkan simpanan di samping mengembara ke banyak tempat lagi sebelum pulang berbakti ke tanah air tercinta,” kongsi Yassir yang sudahpun berkhidmat di Turki selama dua tahun.

Sementara itu, Pensyarah dan Penyelidik dalam bidang radiologi perubatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, (UAE), Mohd Nazmi Che Nordin, pula berkata, mencari pengalaman antara faktor utama beliau mahu merantau di luar negara berikutan pengalaman itu yang akan menjadikan beliau seorang yang lebih profesional.

Tambah Mohd Nazmi, 32, peluang pekerjaan di negara itu juga sangat banyak dan mudah didapati antaranya perbankan, arkitek, jurutera dan pereka dalaman.

“Jadi, kepada mereka yang mahu atau dapat peluang bekerja di UAE atau negara-negara maju yang lain, jangan lepaskan peluang tersebut. Tak perlu ambil pengalaman yang lama, memadai dua hingga tiga tahun,” ujarnya.

Bagi pengendalian sistem produksi di salah sebuah syarikat di Singapura, Intan Sharulhana Mohamad Ishak, 27, berkata, dia memilih untuk bekerja di negara berkenaan kerana taraf ekonomi yang sangat baik dan stabil serta mempunyai sistem pengangkutan yang sistematik menyebabkan tiada kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, Intan Sharulhana turut mengakui dia menghadapi beberapa cabaran sewaktu melangkah masuk ke negara berkenaan.

“Sejujurnya saya sendiri gagal mengawal tekanan pada mula saya bekerja di Singapura kerana keadaan di sini agak berbeza berbanding Malaysia. Di sini juga terdapat pelbagai bangsa dan warga asing selain taraf hidup yang sangat tinggi.

“Justeru, ia memerlukan masa untuk kita serasi dengan negara tersebut dan perlu lebih banyak berdikari kerana jauh dari keluarga,” katanya yang sudahpun bekerja di sana selama tiga tahun.

Bagi jurutera perisian di Jerman, Muhammad Iwan Mohd Raflis, 28, pula berkata, terdapat dua cabaran utama yang perlu dihadapi rakyat Malaysia apabila bekerja di luar negara antaranya tahap penguasaan bahasa dan gaya pemakanan.

“Duduk di negara orang pastinya memerlukan penguasaan bahasa yang baik bagi melancarkan proses komunikasi dengan masyarakat tempatan. Jadi, komunikasi menjadi satu cabaran besar. Tanpa penguasaan bahasa asing, agak mustahil untuk hidup dan kerja di sini.

“Faktor kedua ialah gaya pemakanan. Memang ada kedai asia dan restoran halal, tetapi kebanyakan makanan di sini tak sama dengan Malaysia,” katanya yang berkhidmat di negara itu lebih daripada tiga tahun.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!