Bayi Shamima Begum sudah meninggal dunia di Syria

Rayuan Shamima untuk pulang ke Britain ditolak dan kewarganegaraannya turut dilucut.
Rayuan Shamima untuk pulang ke Britain ditolak dan kewarganegaraannya turut dilucut.
A
A
A

LONDON - UNITED KINGDOM . Peguam kepada remaja Britain yang menyertai kumpulan militan Daesh di Syria, semalam mendakwa bayi remaja terbabit telah meninggal dunia.

Shamima Begum, remaja yang pernah mencetuskan kontroversi sejak beliau dan dua rakannya melarikan diri dari London, bagi menyertai rangkaian pengganas pada 2015 ketika berusia 15 tahun, melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah kem pelarian.

"Kami percaya, namun belum dapat pengesahan bahawa anak Shamima telah meninggal dunia. Bayi itu adalah warga Britain" kata peguam, Mohammed Akunjee.

Anak lelaki Shamima, Jerah lahir pada 17 Februari lalu.

Shamima, 19, menamakan bayinya sempena anak sulung yang meninggal dunia sebelum mereka sempat tiba di kem pelarian Al-Hawl.

Beliau kemudian berpindah randah dari kem ke kem pelarian lain, selepas menerima ancaman bunuh Daesh selepas bercakap kepada media.

Shamima kini berdepan masalah kerakyatan selepas pihak berkuasa Bangladesh, iaitu negara asal keluarganya, enggan mengiktirafnya sebagai rakyat negara itu.

Ia susulan keputusan Britain membatalkan taraf kewarganegaraan Shamima, bulan lalu sekali gus menjadikan beliau kini sebagai individu tidak bernegara.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Shamima memberitahu ITV News bahawa beliau menyifatkan keputusan Britain itu sebagai tidak adil dan mungkin bercadang untuk memohon kerakyatan dari Belanda.

Suaminya, yang juga anggota kumpulan Daesh dan kini ditahan pasukan keselamatan Kurdish di Syria dipercayai adalah rakyat Belanda.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Belanda enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, tetapi menurut pakar, peluang untuk Shamima memperoleh kerakyatan Belanda adalah tipis, kerana perlu memenuhi syarat ketat yang ditetapkan. - Agensi