PKR, Amanah dijangka calonkan bekas ADUN

Anwar (kiri) pada sidang media berkaitan PRN Melaka yang disiarkan melalui Facebooknya pada Jumaat.
Anwar (kiri) pada sidang media berkaitan PRN Melaka yang disiarkan melalui Facebooknya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah), masing-masing akan menerima seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun beliau memberitahu bahawa keputusan untuk mencalonkan dua bekas ADUN terbabit, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan akan dimuktamadkan sebelum majlis pengumuman calon pagi esok.

“Setakat yang saya faham, PKR hanya memilih satu, Amanah memilih satu (Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan).

"Walau bagaimanapun, akan dimuktamadkan pada lewat malam ini atau Insya-ALLAH, esok pagi sebelum kita umumkan calon.

“Saya mohon maaf kalau ada sedikit berbeza pandangan dengan beberapa rakan yang selama ini konsisten menyokong kita,” katanya pada sidang media berkaitan PRN Melaka yang disiarkan melalui Facebooknya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, dalam konteks Melaka, beliau dimaklumkan empat ADUN yang terlibat menyokong PH untuk mengembalikan mandat gabungan itu dan tindakannya tidak sama dengan orang yang mengkhianati amanah dalam pilihan raya.

“Mereka berundur daripada parti mereka untuk mengembalikan mandat kepada PH, itu naratifnya. Walaupun ada berbeza pendapat, ada yang tidak setuju namun saya hanya menyampaikan alasan atau naratif yang dikemukakan.

“DUN sudah bubar. Soal lompat parti dan anti lompat parti tak berbangkit dan mereka bukan lagi ADUN.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini sekarang, memerlukan mandat baharu jadi terpulang kepada parti untuk menerima atau tidak,” ujarnya.