Pembangunan Sabah-Kalimantan: PM bincang dengan Jokowi

Ismail Sabri (tengah) bersama Bung Moktar (depan dua kiri) sewaktu menghadiri Mesyuarat Pemimpin Masyarakat Daerah Sandakan Bersama Perdana Menteri pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) bersama Bung Moktar (depan dua kiri) sewaktu menghadiri Mesyuarat Pemimpin Masyarakat Daerah Sandakan Bersama Perdana Menteri pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membincangkan pembangunan di sempadan Sabah dan Kalimantan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam lawatan beliau ke negara itu minggu depan.

Ismail Sabri berkata, perbincangan itu antara lain merangkumi usaha memajukan sempadan termasuk membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.

“Sebagai contoh, Kalabakan (Sabah) bersempadanan dengan (Kalimantan) Indonesia... Indonesia sudah memajukan kawasan sempadan mereka. Kita nak kawasan sempadan Sabah juga dimaju dan dibangunkan dengan infrastruktur, mungkin dijadikan bandar pelancongan untuk (menarik kunjungan) masyarakat dari Kalimantan.

“Jadi, itu antara perkara yang akan dibincangkan dengan Presiden Indonesia supaya kita dapat sama-sama membangunkan kawasan di sempadan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Pimpinan Masyarakat Sandakan bersama Perdana Menteri di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Kurup; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin serta Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.

Ismail Sabri berkata, perbincangan bersama Jokowi itu turut menyentuh penglibatan usahawan Malaysia dalam projek pembangunan di kawasan sempadan.

“Antara yang saya (akan) bincang nanti (ialah) supaya kita dapat membantu dari segi pembangunan mereka. Maknanya dari segi projek-projek di sebelah Kalimantan, kita nak kalau boleh usahawan dari Malaysia terlibat sama dalam membangunkan Kalimantan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan Persekutuan akan memfokus kepada pembangunan Sabah dan Sarawak selaras Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam usaha memastikan pembangunan seimbang dapat diterjemah.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks Sabah, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan malah akan terus komited memajukan negeri itu dalam usaha membebaskan ia daripada status negeri miskin di Malaysia.

“Percayalah, kita tidak pernah berniat sedikit pun untuk meninggalkan Sabah dengan negeri lain dari segi pembangunan. Insya-ALLAH, kita akan mengeluarkan Sabah daripada kemiskinan,” katanya sambil menambah kerajaan Persekutuan akan terus komited memastikan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah direalisasi demi manfaat rakyat.

Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, ketika berucap pula menzahirkan keyakinan bahawa Sabah akan keluar daripada belenggu kemiskinan di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

Beliau memberitahu, rakyat Sabah mahu bantuan daripada pemimpin nombor satu negara itu agar tidak lagi digelar sebagai negeri termiskin di Malaysia.

"Orang yang paling memahami ialah Perdana Menteri. Bantulah kami dengan apa cara sekalipun kembalikan maruah Keluarga Malaysia di Sabah.

"Perdana Menteri ada kuasa untuk memberi kelonggaran membantu kita keluar daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Bung Moktar turut yakin di bawah pentadbiran Ismail Sabri, Sabah akan bebas daripada kemiskinan dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang. - Bernama