Abang Jo bayangkan Safiee dicalon semula untuk Daro

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

DARO - Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membayangkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro Safiee Ahmad bakal dinamakan semula sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Abang Johari berkata, Safiee telah berkhidmat dengan baik pada penggal ini dan tiada sebab beliau tidak boleh dicalonkan semula.

"Kawasan Daro ini diwakili PBB, saya lihat bahawa wakil di Daro ini telah bekerja dengan baik. Jadi tidak salah untuk kita mencalonkan beliau semula pada pilihan raya negeri akan datang," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Daro di sini.

Ketika berucap, Abang Johari berkata, beliau percaya rakyat Sarawak secara umumnya berkehendakkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kuat untuk menerajui negeri itu ke arah mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata, di Daro, banyak pembangunan telah dilaksanakan seperti pembinaan Jambatan Batang Lassa yang bernilai RM2 bilion bagi menghubungkan daerah itu dengan kawasan Sarikei dan Sibu.

Katanya, kerajaan negeri Sarawak juga telah mengenal pasti industri pertanian dan agrikultur untuk dibangunkan di daerah itu.

Abang Johari berkata, bagi membolehkan industri itu dilaksanakan pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-12, infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air perlu dibangunkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini dapat dilakukan bukan kerana saya tetapi kerana sokongan yang anda berikan kepada PBB dan juga GPS," katanya sambil menyeru pengundi Daro agar terus bersatu padu dan kekal menyokong parti itu.

Sebelum itu, Abang Johari menghadiri majlis perasmian Masjid Al-Muhsiniin oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid daerah Daro itu bersama penduduk tempatan.

Beliau kemudian melakukan upacara pecah tanah projek Bandar Baru Daro Fasa 2 dan merasmikan Medan Selera Daro. - Bernama