Banjir Kedah: 856 mangsa masih ditempatkan di PPS

Nur Aliya terpaksa berpindah ke rumah abangnya di Kuala Kedah selepas kawasan rumahnya dilanda banjir beberapa kali sejak 18 Oktober lalu. (Gambar kecil: Mohd Azhar)
Nur Aliya terpaksa berpindah ke rumah abangnya di Kuala Kedah selepas kawasan rumahnya dilanda banjir beberapa kali sejak 18 Oktober lalu. (Gambar kecil: Mohd Azhar)
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 856 mangsa banjir masih ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat jam 4 petang pada Jumaat.

Ketua Bahagian Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 234 buah keluarga dari empat daerah iaitu Kota Setar, Pokok sena, Baling dan Pendang.

Katanya, Kota Setar masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 550 orang diikuti Pendang (287), Baling (10), Pokok Sena (6).

"Setakat ini, hanya dua PPS di daerah Kubang Pasu ditutup iaitu PPS SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang yang ditutup pada jam 12 tengah hari dan PPS SK Malau pada jam 9.30 pagi pada Jumaat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, penduduk di Kampung Alor Gelegah di sini dalam keadaan berjaga-jaga apabila persekitaran mereka mulai dinaiki air sejak petang Jumaat.

Seorang penduduk, Mohd Azhar Abu Hassan, 43, berkata, pekarangan rumahnya mula dinaiki air selepas solat Jumaat iaitu sekitar jam 2.30 petang.

"Alhamdulillah, paras air tidak tinggi jadi air banjir tidak masuk dalam rumah cuma saya risau kerana cuaca masih hujan sekarang ini, rumah pula hampir dengan sungai," katanya.

Mohd Azhar berkata, dia dan keluarga belum membuat persiapan termasuk memindahkan barangan elektrik ke tempat yang lebih selamat.

Artikel Berkaitan:

Beberapa penduduk sedang bermain air banjir di Kampung Alor Gelegah pada Jumaat.
Beberapa penduduk sedang bermain air banjir di Kampung Alor Gelegah pada Jumaat.

"Bagaimanapun saya akan sentiasa memantau paras air jika semakin tinggi, saya akan alihkan semua barangan ke tempat selamat," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Alor Mengkudu, Muhamad Fahmi Muhamad Fauzi berkata, keadaan di Kampung Alor Gelegah masih terkawal dan paras air masih belum di paras bahaya seperti banjir pada tahun 2010.

"Bagaimanapun, sekiranya ada arahan berpindah daripada pasukan penyelamat, saya berharap penduduk akur demi keselamatan semua pihak," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Tanjung Seri, Nur Aliya Hamid, 30, berkata, dia dan keluarga terpaksa menumpang rumah abangnya di Kuala Kedah selepas kawasan rumahnya dilanda banjir beberapa kali sejak 18 Oktober lalu.

"Pada mulanya, air naik di kawasan rumah ketika itu paras air sekitar buku lali (0.1 meter) sahaja.

"Bagaimanapun, air makin tinggi hingga ke paras pinggang (0.5 meter) sejak petang Khamis menyebabkan kebanyakan perabot, barangan elektrik dan pakaian ditenggelami air," katanya.

Menurut beliau, mereka telah memindahkan beberapa barangan berkenaan ke lokasi lebih tinggi dan menambak tanah di dalam dan luar kediaman.

"Disebabkan air semakin naik ada barangan terkena air,'' ujarnya.

Tambah beliau, 40 keluarga dikhuatiri mengalami nasib sama apabila rumah mereka turut ditenggelami air dan banjir dikhuatiri makin teruk berikutan cuaca tidak menentu.