Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan pasaran terus resah sementara menunggu hasil mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) di samping menilai keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus ketika mesyuarat terakhir 2021.

Pada 6 petang, unit tempatan merosot berbanding dolar AS kepada 4.1585/1605 daripada 4.1530/1550 sewaktu ditutup pada Rabu.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik Jeffrey Halley berkata, peningkatan kukuh semalaman dolar AS memaparkan peringatan yang jelas bahawa kenaikan hasil AS akan menyaksikan satu lagi gelombang jualan di pasaran tukaran mata wang asing Asia pada minggu depan.

Pasaran turut menantikan laporan data gaji bukan perladangan AS yang akan dikeluarkan lewat malam ini yang berupaya menawarkan lebih banyak sokongan terhadap dolar.

Sewaktu ditutup, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali berbanding yen Jepun.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5865/5892 daripada 5.6585/6612 sebelum ini, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0729/0746 daripada 3.0781/0798 sewaktu ditutup pada Rabu dan meningkat berbanding euro kepada 4.7997/8020 daripada 4.8142/8165 pada Rabu.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.6536/6553 daripada 3.6478/6499. - Bernama

Artikel Berkaitan: