Warga emas ditipu lebih RM2 juta

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas mengalami kerugian lebih RM 2 juta selepas ditipu ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai 'pegawai Telekom Malaysia' pada Isnin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Superintendan Tan Poh Cheok berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita yang berusia 80 tahun itu pada Selasa.

Tan Poh Cheok
Tan Poh Cheok

Menurutnya, mangsa yang juga bekas pensyarah dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia mendakwa terdapat satu talian didaftarkan atas namanya digunakan untuk aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram.

"Mangsa diminta membuat beberapa transaksi secara pindahan wang berjumlah RM730,000 dan diminta untuk menyerahkan kad ATM (kepada pihak sindiket).

"Selepas itu mangsa mendapati terdapat transaksi pindahan wang daripada akuannya berjumlah RM1.8 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Poh Cheok berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan helah yang digunakan oleh pihak sindiket.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan butir-butir terperinci pihak berkuasa yang berhubung tentang sebarang siasatan dan membuat panggilan semula kepada agensi berkaitan melalui talian rasmi," katanya.